Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang mempunyai kata putus berhubung projek yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menambah, projek tambak laut di Permatang Damar Laut itu mempunyai pelbagai impak buruk bukan hanya kepada golongan nelayan, malah terhadap kelestarian alam sekitar khususnya hidupan marin.
Jelasnya, projek itu juga bakal menyebabkan bekalan sumber laut negara terjejas memandangkan kawasan Permatang Damar Laut merupakan antara penyumbang terbesar hasil laut negara.

“Atas apa alasan sekali pun, projek tambak laut itu tidak boleh diteruskan kerana kawasan laut ini menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,700 nelayan.

“Projek itu juga bakal menyebabkan kerosakan alam sekitar yang serius dan menjejaskan hidupan laut seperti ikan, udang dan kerang yang menjadikan kawasan ini habitat utama,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama-sama hampir 100 nelayan di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini bagi mendengar keluhan mereka berikutan cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang menambak kawasan laut tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Jika mengikut perancangan kerajaan negeri, kawasan laut Permatang Damar Laut didakwa akan ditambak untuk membentuk tiga buah pulau buatan.

Pulau-pulau itu pula difahamkan akan ditender bagi memboleh­kan Kerajaan DAP Pulau Pinang mencari modal untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan negeri yang menelan kos RM27 bilion.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, projek tambak laut tersebut juga bakal menyebabkan LKIM menanggung kerugian kira-kira RM4 juta setahun yang disumbangkan daripada hasil jualan pasar nelayan di tiga buah kawasan iaitu di Teluk Kumbar; Sungai Batu dan Pulau Betong.
Keadaan itu juga, jelas beliau, bakal menjejaskan usaha Kerajaan Pusat sebelum ini dalam me­ningkatkan taraf hidup dan sosial golongan nelayan.

Tambahnya, sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang benar-benar prihatin dengan nasib penduduk negeri ini, rintihan dan keluhan golongan nelayan tersebut tidak sepatutnya diabaikan dan cadang­an tambak laut berkenaan dihentikan serta-merta.

“Saya juga tidak melihat rasional projek tambak laut ini kepada usaha untuk membela nasib rakyat khususnya penduduk di sini, tetapi lebih menjurus kepada pengkorporatan dan pengkomersialan.

“Sedangkan kehidupan dan aktiviti nelayan di sini merupakan sesuatu yang tradisi atau warisan sekali gus perlu dipertahankan,” katanya.