Berdasarkan laporan firma berkenaan, Najib yang juga Presiden UMNO berjaya membuktikan kedudukannya kukuh melalui sokongan ahli yang diterimanya pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, baru-baru ini.

“Dengan itu kita juga mengesahkan bahawa Najib akan kekal berkuasa dan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu pada 2018.

“Antara lain yang turut memperlihatkan bahawa Perdana Menteri itu masih mempunyai kawalan penuh adalah menerusi pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri selain tidak membenarkan Timbalan Presiden parti itu berucap pada perhimpunan berkenaan berikutan tindakan beliau mempersoalkan Najib,” kata laporan itu.
Menurut analisis berkenaan, kedudukan Najib juga dilihat masih kukuh apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini berjaya menurunkan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 turut gagal berbuat demikian terhadap Perdana Menteri walaupun dengan pengaruh politiknya.

“Tanda paling jelas adalah ketika Najib mengkritik tindakan ahli yang tidak mahu berdamai (Muhyiddin dan Mahathir) telah diterima oleh perwakilan malah disokong penuh oleh semua wakil cawangan parti itu seluruh negara.
“Meskipun Najib masih menghadapi tentangan dalaman di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor yang ada kumpulan pro-Muhyiddin, namun kumpulan anti-Najib itu semakin lemah dan telah kehabisan pilihan.

“UMNO akan mengadakan pemilihan parti pada pertengahan 2018 dan kita melihat tiada kemungkinan bahawa Najib akan digulingkan,” ujar laporan itu.
Dalam analisis tersebut, antara faktor lain yang turut mempengaruhi kedudukan dan kuasa Najib adalah melalui penyusutan isu dan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Salah satu faktor adalah menerusi resolusi krisis hutang 1MDB dan Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Arul Kanda Kandasamy juga telah memaklumkan bahawa masalah dana itu dapat diselesaikan melalui dua transaksi.
“Pertama melalui penjualan aset tenaga 1MDB iaitu Edra Global Energy Bhd. (Edra) kepada General Nuclear Power Corporation (CGN Group) bernilai RM9.8 bilion secara tunai selain mengambil alih hutang sebanyak RM7.4 bilion.

“Kedua, pemindahan hutang sebanyak RM16 bilion kepada dana Pelaburan Antarabangsa Petroleum Abu Dhabi sekali gus mengurangkan hutan 1MDB menjadi RM19 bilion daripada RM42 bilion,” kata laporan itu.