Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih malang lagi apabila kelemahan yang sedikit itu dibesar-besarkan dan dijadikan viral di laman sosial bagi memburukkan negara dan pemimpin.

Menurutnya, kerajaan sentiasa meraikan perbezaaan pendapat tetapi ia tidak seharusnya sehingga merosakkan imej dan nama negara.

“Lihatlah realiti. Sebarang isu yang timbul harus dianalisis dengan sebaik-baiknya, bukan ‘ditelan’ terus apa sahaja maklumat yang diperoleh ter­utama daripada media sosial.

“Menegur atau mengkritik perlu ada tertib dan tatacaranya. Jangan kita bertindak keterlaluan sehingga hilang kualiti intelektual kita, seolah-olah kita menyamakan diri kita dengan orang yang tidak sekolah, mereka yang di luar sistem pendidikan intelektual.

“Tetapi itulah trend pada waktu ini dan bukan mudah untuk membetulkan keadaan itu,” katanya dalam majlis makan malam bersama hampir 200 pelajar Malaysia di sini malam tadi.

Beliau berada di sini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke United Kingdom bermula Ahad lalu.
Ahmad Zahid berkata, isu ringgit jatuh, harga barang naik dan inflasi yang sering menjadi persoalan oleh banyak pihak sebenarnya berlaku juga di negara-negara lain terutama negara serantau tetapi rakyat Malaysia lebih suka mengikut emosi dan persepsi apabila membincangkan perkara itu.

“Kita selalu lihat orang lain (negara lain) lebih baik daripada negara kita tetapi kita tidak pernah mahu melihat ke dalam diri kita. Kalau kita teruk sangat, mengapa kita menjadi tumpuan rakyat asing untuk datang mencari rezeki di Malaysia. Bila ada gula, semut akan datang. Negara kita ada banyak gula,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri berkata, setiap rakyat Malaysia terutama pelajar di luar negara mempunyai peranan kepada negara sama ada dari segi memajukan ekonomi mahupun sosial.

“Saya pemimpin yang dah ‘maghrib’ dan pelajarlah yang akan mengambil alih tempat saya nanti. Kita tidak tahu apa yang Tuhan akan berikan kepada kita tetapi kalau kita (pelajar) bijak, kita mungkin lebih bernasib baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta pemi­mpin kerajaan yang datang ke United Kingdom dan berhasrat bertemu dengan pelajar dan komuniti Malaysia di negara ini supaya tidak hanya melakukannya di London.

“Datanglah juga ke tempat lain se­perti di Manchester ini supaya boleh berjumpa dengan lebih ramai pelajar,” katanya. – Utusan