Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, perkara itu pen­ting memandangkan tanah milik orang Melayu di negeri ini ketika ini hanya berjumlah kira-kira 24 peratus.

Menurut beliau, statistik pada 2010 itu turut menunjukkan daripada jumlah tersebut, kebanyakan tanah-tanah milik orang Melayu di negeri ini terletak di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

“Perkara ini harus diberi perhatian demi kelangsungan hidup ge­nerasi muda hari ini dan akan datang.

“Sebagai orang lama, golongan warga emas dan pesara kerajaan perlu memainkan peranan menye­darkan generasi muda Melayu hari ini supaya tidak sekali-kali menggadaikan harta yang sudah tinggal sekangkang kera ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Seminar Hari Warga Emas 2015 peringkat nege­ri di dewan Pejabat ADUN Pulau Betong, Jalan Kuala Baharu di sini, hari ini.

Tambah Muhammad Farid, golongan pesara walaupun sudah tidak berkhidmat dengan kerajaan tidak boleh sesekali memandang remeh isu pemilikan tanah.

Menurut beliau, berbekalkan pengalaman sebagai kakitangan kerajaan, para pesara dan warga emas terbabit perlu sentiasa menjadi penasihat dalam menyuntik kesedaran kepada generasi muda supaya mempertahankan warisan mereka.

Tambahnya, orang Melayu di nege­ri ini masih merupakan kaum majoriti dan perkara itu dibuktikan menerusi perincian yang menunjukkan kira-kira 65 peratus pelajar di seluruh sekolah negeri ini adalah orang Melayu.

“Jadi sebagai orang lama dalam keluarga, turunkan segala pengalaman yang ada, nasihat dan persiapkan anak cucu masing-masing supaya mereka mampu membangunkan diri sendiri dan tidak terus dibelenggu kemiskinan,” tegasnya.