Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, hakikat itu lambat-laun akan di­sedari oleh rakyat termasuk kaum Cina sekali gus menyebabkan mereka menolak DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, sikap rakus DAP kebelakangan ini semakin terserlah dengan tindakan mereka ‘menunggangi’ parti-parti lain dalam pakatan pembangkang baharu serta beberapa aktivis Melayu yang menyertai DAP.

“Tindakan DAP mengisytiharkan keputusan mereka untuk bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi Pas di Selangor jelas membelakangkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang diyakini mempunyai keinginan bertanding di kerusi yang sama.

“Selain itu, DAP terus mendesak Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk menyingkirkan Exco Pas dan jelas sekali DAP kini cuba memperbudak-budakkan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam Konvensyen DAP Selangor di Petaling Jaya semalam, Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dilaporkan menggesa kepemimpinan tertinggi parti itu memberi kata dua kepada Mohamed Azmin supaya memecat wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri.

Konvensyen sama turut menyaksikan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari serta dua aktivis Melayu DAP, Syefura Othman dan Edry Faizal Eddy Yusof dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor.

Di samping itu, DAP Selangor juga dikatakan sedang membuat persiapan untuk meletakkan calon-calonnya bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Pas di Selangor.

Mohd. Zuhdi menambah, Pusat Penyelidikan Pas telah mengkaji strategi dan unjuran DAP untuk menguasai negara ini melalui pakatan pembangkang iaitu dengan memaksimumkan kemenangan calon-calon bukan Islam serta meminimumkan kemenangan calon-calon Islam.

Beliau memberitahu, pemerhatian yang dilakukan semasa Pas masih menjalinkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP mendapati, parti itu mengambil pendekatan memainkan isu-isu sensitif berkaitan sentimen agama dan kaum termasuk isu kalimah Allah serta menolak dasar-dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

“Ketika itu, Pas sentiasa menjadi halangan utama disebabkan manipulasi isu seperti ini akan merugikan pakatan pembangkang secara keseluruhan,” jelasnya.

Mohd. Zuhdi berkata, DAP kini dilihat mengamalkan pendekatan tersebut dengan menyerang kepentingan umat Islam, tidak menghormati institusi Melayu, memperlekehkan kepemimpinan Islam dan menyebarkan sentimen anti-Melayu.
Beliau berpandangan, DAP sepatutnya menerima realiti akar umbi sejarah, latar belakang budaya dan susur-galur nilai yang membentuk struktur sosial serta tata cara politik di negara ini.

“Semua elemen itu telah menjamin keharmonian masyarakat dan kestabilan politik di Malaysia,” katanya.