..

..

POLIS CAWANGAN KHAS BERI PENJELASAN SURAT PEKELILING ARAHAN DALAMAN I #ASEANSUMMIT2015

on Friday, November 20, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




Maklumat yang terkandung dalam satu surat pekeliling Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengenai kehadiran pengebom berani mati di negara ini, adalah berdasarkan maklumat risikan dalaman polis supaya semua anggotanya sentiasa mengambil tindakan proaktif.

Pengarah Cawangan Khas PDRM Bukit Aman Datuk Seri Fuzi Harun ketika mengulas mengenai surat pekeliling itu yang tersebar di media sosial, berkata ia bertujuan supaya pasukannya sentiasa berhati-hati.

"Itu sebenarnya adalah arahan dalaman, untuk kita sentiasa berhati-hati. Ia adalah maklumat yang kita terima tetapi kita tidak dapat yang nyata...Ia mungkin betul, mungkin tidak tetapi tindakan tetap diambil," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya PDRM sentiasa mengambil tindakan proaktif terhadap sebarang maklumat walaupun ia 'sekecil-kecil maklumat'.

"Maklumat-maklumat ini kita akan maklumkan kepada anggota kita untuk sebarang tindakan," katanya.

Sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan mengenai surat pekeliling dalaman polis yang mendedahkan mengenai kehadiran pengebom berani mati di Sabah dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan mengesahkan kesahihan surat pekeliling itu, namun kesal dengan kebocoran maklumat yang dianggapnya sensitif.

Beliau berkata polis sedang memantau semua potensi ancaman dan tindakan sedang diambil untuk mengagalkan atau meneutralkan mereka selain polis tidak akan bertolak ansur dalam menangani unsur-unsur keganasan.

Pekeliling bertarikh 16 Nov dari Ibu Pejabat Polis Sabah adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh berhubung satu "mesyuarat dan perancangan" antara Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), militan IS dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Pekeliling berkenaan turut meminta anggota-anggota polis supaya meningkatkan rondaan dan risikan manakala pos-pos dan unit hadapan diminta sentiasa dalam keadaan siap siaga serta saling berkomunikasi.


One Response

  1. Anonymous says:

    sudah berulang kali berlaku, maklumat suliot dan terhad pasukan PDRM bocor kepada umum , bagaimana ianya berlaku dan wajarkah ia berlaku berulang kali ?
    seolah PDRM tidak mampu mengajar anggotanya supaya menyimpan rahsia , seolah PDRM tidak mampu mengawal perilaku anggotanya ,

    sepatutnya , apa2 sahaja maklumat sulit atau terhad , hanya berlaku dan diketahui oleh anggota pasukan , umum tidak perlu tahu kerana ianya akan menjejaskan siasatan dan perancangan pihak polis , kerana saya tahu pihak polis sebaik sahaja menerima maklumat sebegini akan membuat sesuatu , polis akan membuat apa yg perlu dan ianya tidak perlu kita ragui kerana polis lebih tahu bagaimana dan apa mereka buat ,

    jika perkara ini terus berlaku dan berulang , akan menghakis kepercayaan rakyat kepada kredibiliti pihak berwajib , sekaligus mencalarkan imej maruah pasukan, pihak kepimpinan PDRM harus membuat sesuatu ..

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.