Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, desakan berkenaan tidak mustahil akan disuarakan oleh ahli parti berikutan tindakan Muhyiddin kebelakangan ini.


Katanya, keadaan itu dijangka kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah melanggar etika parti serta memberi gambaran beliau sudah tidak membantu pimpinan parti yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Perhimpunan akan berlangsung mengikut peraturan sedia ada namun apabila bercakap soal Muhyiddin, mungkin akan wujud desakan beliau melepaskan jawatan kerana kebelakangan ini beliau berterusan mengkritik parti dan kerajaan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika di Kompleks Tabung Haji di sini hari ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengatakan Muhyiddin dan seorang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung daripada parti pada mesyuarat MT Selasa ini namun dinafikan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, tindakan Muhyiddin 'menyertai' bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad 'menyerang' kerajaan juga mungkin menjadi punca wujud desakan supaya beliau melepaskan jawatan.

“Kita tidak mahu ada 'duri dalam daging' ketika proses mengukuhkan UMNO sedang berlangsung. Penyatuan dalam kalangan ahli amat mustahak ketika ini,” katanya.