Namun itulah yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu dalam sidang DUN negeri minggu lalu.

Mengenali Yee Cheu, wakil rak­yat DAP ini sememangnya diketahui sering tidak senada dengan kerajaan negeri.

Membentuk pasukan yang dilihat berhaluan kiri dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang itu juga ialah ADUN Berapit, Lydia Ong Kok Fooi dan ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey.
Sebab itu dalam setiap kali sidang DUN negeri, selain ADUN Barisan Nasional (BN) seperti Datuk Jahara Hamid dan ADUN Pulau Betong, Muhamad Farid Saad, ADUN DAP berkenaan juga menjadi mangsa kritik rakan-rakan sendiri.

Namun keberanian Yee Cheu dalam sidang DUN kali ini boleh dianggap sangat luar biasa.
Beliau bersama-sama 10 ADUN BN menyokong usul yang dibawa Muhamad Farid supaya kerajaan negeri memaklumkan kepada umum sebelum sebarang projek tambak laut di negeri ini diluluskan.
Usul itu juga memberi tamparan hebat kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana selain Yee Cheu yang menyokong, lima ADUN PKR turut memilih untuk berkecuali.

Dalam pemahaman mudah, tindakan lima ADUN PKR itu menunjukkan mereka juga menyokong usul BN kerana tidak bersama-sama wakil rakyat DAP menolaknya.

Cuma barangkali mereka memilih untuk berkecuali atas faktor politik kerana tidak mahu dilihat menentang Kerajaan DAP Pulau Pinang secara terbuka tetapi dalam masa sama menyedari usul yang dibawa adalah sangat membimbangkan.

Soal Yee Cheu kemudiannya dalam sidang akhbar memohon maaf kepada kerajaan negeri ke­rana bersama-sama ADUN BN menyokong usul itu adalah isu lain.

Permohonan maaf itu juga tidak lagi memberi apa-apa makna kerana sokongan beliau sudah pun dicatatkan dalam sidang DUN dan DAP perlu menerima hakikat ini dalam sejarah pentadbiran mereka di negeri ini.

Lebih daripada itu, usul yang dibangkitkan ADUN BN tersebut juga halikatnya adalah perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian.

Mereka mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dilihat sewenang-wenangnya memberi kelulusan kepada projek menambak laut.

Keluasan yang dibenarkan juga sangat besar yang boleh merubah geofizikal negeri ini sepenuhnya.
Impak projek tambak laut itu cukup luas bukan hanya melibatkan kelestarian alam sekitar, tetapi juga kelangsungan hidup dan masa depan penduduk yang terlibat secara langsung dengan projek itu.

Dalam kes seperti di Permatang Damar Laut misalnya, projek tambak laut yang dirancang di situ boleh menjejaskan kira-kira 300 nelayan yang sudah ada di situ sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Mereka kini resah meneruskan kehidupan di bahagian pulau yang serba mahal selepas satu-satunya mata pencarian mereka terancam.

Mungkin ramai yang tidak me­ngetahui pendapatan golongan nelayan pesisir pantai ketika ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Hasil tangkapan mereka tidak sebanyak mana berbanding suatu ketika dulu kerana banyak kawasan pesisir pantai dibangunkan dengan projek komersial sekali gus menjejaskan habitat-habitat hidupan laut.

Menambak lebih besar kawasan laut pada masa depan bermakna semakin mengecillah sumber pendapatan golongan ini.

Disebabkan kawasan yang mahu ditambak juga sangat luas, kesannya bukan setakat di perairan bahagian pulau, malah turut menjangkau sehingga ke perairan Seberang Perai.

Dari sudut kelestarian alam sekitar juga, tindakan menambak laut itu sudah semestinya menjejaskan ekosistem paya bakau di negeri ini.

Setakat ini, selain di Balik Pulau, hanya Permatang Damar Laut yang masih memiliki kawasan paya bakau.

Jika kawasan ini juga mahu ditambak, maka hilanglah salah satu ciri-ciri keunikan alam sekitar yang masih ada di negeri ini.

Namun di sebalik semua kebimbangan itu, kekhuatiran paling besar adalah sejauh mana projek yang dirancang di kawasan yang ditambak tersebut memberi manfaat kepada majoriti penduduk negeri?

Secara logiknya kerja-kerja menambak kawasan laut itu pastinya membabitkan kos sangat tinggi.
Untuk mengimbangi kos itu, pe­maju perlu membangunkan projek komersial dan mewah dengan kadar jualan atau sewaan yang juga tinggi.

Sehubungan itu, apakah ada jaminan projek di kawasan tersebut kelak turut membabitkan pembinaan rumah-rumah kos rendah dan mampu milik?

Bagaimana pula dengan nasib 300 nelayan yang bakal terjejas da­ripada projek itu?

Adakah soal kebajikan dan pembelaan kepada mereka turut dimasukkan dalam pelan pembangunan projek di kawasan berkenaan?

Perkara ini menimbulkan persoalan dan tanda tanya besar kerana sehingga kini maklumat terperinci mengenai projek di kawasan itu tidak didedahkan kepada umum.

Penduduk lebih banyak mengetahui mengenainya daripada pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang membuat pendedahan terdapat kerja-kerja mengukur dan menanda tanah di kawasan itu ketika ini.

Malah, kerajaan negeri juga mem­beri jawapan berbeza berhubung keluasan tanah yang dibenarkan untuk ditambak seperti dibongkarkan menerusi sidang DUN.

Perkara seperti inilah yang mencetuskan kebimbangan dan jika wakil rakyat dalam kerajaan negeri sendiri boleh mempersoal berhubung projek tambak laut tersebut, rakyat sudah semestinya lebih tertanya-tanya dan bimbang. - utusan-