..

..

1,083 ANGGOTA JKKK PARTI DIMINTA LETAK JAWATAN - PAS PULAU PINANG

on Sunday, November 22, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




 Pas Negeri Pulau Pinang hari ini mengarahkan kesemua 1,083 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari parti itu di negeri ini meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Pesuruhjaya Pas negeri Muhammad Fauzi Yusof berkata surat arahan meletakkan jawatan dan menamatkan perkhidmatan sebagai anggota JKKK itu akan diedarkan dalam tempoh terdekat dan semua anggota terlibat diminta untuk mematuhi arahan itu.

"Kami mengambil keputusan untuk memberhentikan kesemua ahli-ahli Pas yang berkhidmat di dalam JKKK dalam semua kuota, kuota DAP, kuota PKR mahupun kuota campuran. Semua kita akan berhentikan.

"Kita tak izinkan mereka (kerajaan negeri) mengambil ahli-ahli kita untuk dimasukkan dalam senarai JKKK. Kita tidak mahu ahli JKKK Pas di negeri ini terus dimanipulasikan termasuk bagi memenuhi kuota JKKK di kawasan PKR dan DAP," katanya pada sidang media di Markas Pas Pongsu Seribu, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan DAP Pulau Pinang banyak menyinggung perasaan umat Islam termasuk isu hukum hudud, pemecatan anggota pihak berkuasa tempatan dari Pas dan isu pemberian dana sekolah agama rakyat di negeri ini.     

"Keputusan ini dipersetujui oleh majoriti anggota JKKK Pas di negeri ini selepas mengadakan dua pertemuan dengan mereka. Kebanyakan mereka mahu dan bersedia untuk meletakkan jawatan. Jadi, dengan sidang media ini tidak jadi keberatan untuk mereka meneruskan niat itu," katanya.

Muhammad Fauzi turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memecat 300 anggota JKKK dari Pas di Kepala Batas dan mendakwa maklumat berkenaan adalah tidak tepat.

"Mengapa hanya pecat 300 orang sahaja. Adakah yang dipecat itu hanya dalam kuota Pas sahaja sedangkan ahli-ahli Pas yang berkhidmat dalam JKKK ini berada dalam kuota DAP, PKR dan kuota campuran. Jadi kenapa pecat 300 orang.

"Hasil daripada pemecatan tersebut kita dapati bahawa JKKK daripada kalangan ahli Pas itu ada yang tidak menerima notis pemecatan. Hanya beberapa orang sahaja yang menerima notis pemecatan. Jadi mana 300 orang yang didakwa dipecat.

"Kemudian ada yang mendapat notis pemecatan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertarikh 11 November 2015 dan kenyataan (Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon) kata notis pemecatan berkuatkuasa pada 15 November 2015. Tapi keputusan mesyuarat kerajaan negeri pula kata berkuatkuasa pada 4 November 2015, dari segi tarikh pun kerajaan negeri buat pembohongan," katanya.   

Mengulas mengenai status wakil tunggal Pas Datuk Mohd Salleh Man dalam kerajaan negeri berikutan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang di negeri ini, Muhammad Fauzi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Adun Permatang Pasir itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada Pas pusat untuk membuat keputusan berhubung status Salleh Man.

"Saya sudah menghubungi beliau dan meminta untuk menetapkan satu tarikh pertemuan. Kita akan menasihati beliau mengikut etika dan adab di dalam parti," katanya.

Beliau berkata sebagai seorang ahli Pas Salleh Man seharusnya istiqamah dalam perjuangan Pas dan mengingati lafaz bai'ah yang dibuat ketika mula-mula menjadi anggota parti itu. - Bernama


One Response

  1. Anonymous says:

    Maknanya Ustaz Nasaruddin Mat Isa betul-betul kena naya. Langsung tak bagi peluang.

    Jika dengan DAP banyak pula peluang yang ada sebelum jatuh hukum.

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.