Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid mendakwa, pihaknya dimaklumkan wujud cadangan pembangunan melibatkan kawasan laut seluas 2,670 hektar berhampiran Jelutong hingga ke Batu Uban di bahagian pulau di sini, yang turut dikenali sebagai ‘Middle Bank.’

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN), Teluk Air Tawar itu mendakwa, pembangunan melibatkan projek tambakan laut tersebut sekiranya tidak dikawal dikhuatiri memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.

“Kita tidak tolak pembangunan, malah berbangga dengan kemajuan negeri ini hari ini sehingga dikenali serata dunia.

“Namun, sebagai rakyat negeri ini, kita juga tidak mahu aktiviti tambak laut jika tidak dikawal boleh menyebabkan tiada lagi pulau akibat bercantum dengan Seberang Perai,” dakwanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Jahara bersama-sama beberapa ADUN pembangkang negeri ini membawa kira-kira 20 petugas media di negeri ini meninjau kawasan perairan itu yang didakwa akan dibangunkan dengan projek mega, melibatkan pembangunan tebus guna tanah atau tambak laut.

Yang turut hadir ADUN Su­ngai Aceh, Datuk Mahmud Zakaria; ADUN Bertam, Shariful Azhar Othman; ADUN Penaga, Mohd. Zain Ahmad; ADUN Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor dan Setiausaha Gerakan negeri, Oh Tong Kiong.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada penduduk negeri ini bakal mendapat manfaat daripada projek tambak laut itu kelak, antaranya menerusi peruntukan rumah mampu milik.

Katanya, keadaan akan menjadi lebih terdesak kepada golo­ngan kurang berkemampuan seperti 500 nelayan yang bakal kehilangan sumber rezeki ekoran aktiviti tebus guna kawasan laut berkenaan.

“Ke mana nelayan-nelayan ini akan pergi sedangkan mereka tidak mampu membeli apa-apa hartanah di kawasan yang dibangunkan,” katanya.