Pengarah Komunikasi Stra­tegik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kedua-dua individu, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang Wen Chieh telah pun dihadapkan ke mahkamah meskipun sebelum ini ditahan di bawah SOSMA.
“Tidak sebagaimana ISA, di bawah SOSMA, Khairuddin dan Matthias dibawa ke mahkamah, oleh itu, serahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak,” katanya dalam laman Twitter miliknya hari ini.
Khairuddin, 53, dan Matthias, 65, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini berkata, penahanan Khai­ruddin dan Matthias di bawah SOSMA sebelum ini adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa.
ISA telah dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 September 2011.
Menurut Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penggubalan SOSMA telah disokong oleh semua Ahli Parlimen BN termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.