Tetapi amat berbeza pula de­ngan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang baharu sahaja dimuktamadkan pada Isnin lalu selepas menjalani perundingan selama lima tahun lamanya. TPPA bukan sahaja menarik perhatian di Malaysia tetapi juga 11 negara lain yang turut terlibat iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Me­xico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

Tumpuan dan perhatian yang khusus terhadap TPPA berlaku kerana ia dianggap perjanjian perdagangan paling komprehensif sebab merangkumi banyak perkara termasuk pelaburan, perdagangan barangan elektronik, perolehan kerajaan, harta intelek, tenaga manusia dan alam sekitar.

Tentangan di Malaysia terhadap perjanjian ini banyak tertumpu kepada dua tema iaitu perolehan kerajaan dan harta intelek (IP). Ini kerana dikhuatiri jika kerajaan dikekang oleh perundangan antarabangsa melalui TPPA maka dasar membantu syarikat Bumiputera dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terbantut.

Mengenai IP pula diunjurkan kos perubatan akan menjadi lebih mahal dan ini sudah pasti menambah beban rakyat dalam menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Jika sebelum ini perbahasan dilakukan tanpa mengetahui kandungan TPPA secara terperinci tetapi selepas perjanjian dimuktamadkan maka kesemua 12 negara mempu­nyai hak untuk menghebahkan kepada umum selepas 30 hari bermula dari 5 Oktober 2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah membuat pengakuan akan menyebarkan kandungan TPPA kepada umum dan perjumpaan dengan pihak berkaitan akan dilakukan. Beliau juga mengesahkan TPPA akan dibentangkan dan dibahaskan di persidangan Dewan Rakyat akan datang dan keputusan muktamad penyertaan negara dalam TPPA akan dibuat secara bersama dengan semua wakil rakyat.

Perlu diberi perhatian bahawa telah wujud satu kaukus Parlimen mengenai TPPA yang terdiri dari 6 wakil rakyat dari pihak kerajaan dan 5 dari pembangkang dan secara keseluruhannya sebanyak 14 perbincangan telah berlangsung sejak 2013 lagi.

Tetapi perbahasan dalam Parlimen pasca muktamad TPPA agak berbeza dengan perbincangan peringkat kaukus kerana sebelum ini semua perbincangan berlandaskan maklumat TPPA yang agak terhad.

Sebab itu harapan rakyat terhadap kesemua 222 wakil rakyat adalah perbahasan tersebut mesti berlandaskan fakta dan bukan mengikut perasaan atau tuduhan yang tidak berasas. Kesemua wakil rakyat tersebut bukan sahaja boleh berpandukan fakta yang terdapat dalam kandungan TPPA tetapi juga perlu merujuk kepada dua kajian keberkesanan TPPA yang sedang dibuat oleh badan pemikir Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan juga syarikat PricewaterhouseCoo­pers Malaysia (PwC).

Jika setiap wakil rakyat berpegang kepada konsep agenda perbahasan mesti berlandaskan menjaga kedaulatan dan kepentingan negara maka keputusan yang bakal dibuat pasti akan di terima oleh rakyat.

Jika terdapat andaian bahawa TPPA akan membunuh syarikat Bumiputera atau GLC maka perbahasan mesti mengemukakan fakta dan ini sepatutnya boleh dilakukan berpandukan laporan ISIS dan PwC.

Jika ada wakil rakyat yang berhujah bahawa TPPA akan membuka pasaran lebih luas maka dalil itu juga mesti berlandaskan data asas dan bukan persepsi semata-mata.

Rakyat tidak mahu melihat di mana perbahasan Dewan Rakyat digunakan oleh wakil rakyat semata-mata untuk memenuhi agenda politik parti masing-masing sehingga isu pokok sudah menjadi tidak penting. Jika hendak diungkit perkara sebegini telah acap kali berlaku di Parlimen di mana isu remeh menjadi tajuk perbahasan utama sedangkan perkara pokok tidak mendapat perhatian.

Umpamanya ketika perbahasan mengenai rang Undang-Undang Perdagangan Strategik pada 2010 kebanyakan wakil rakyat sibuk berbahas dengan agenda menuduh kerajaan Malaysia tunduk dengan tekanan Amerika Syarikat (AS) sehingga terpaksa memperkenalkan undang-undang tersebut.

Strateginya adalah untuk memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan malang sekali perbahasan rang undang-undang telah menjadi mangsa. Isu utama iaitu tujuan diperkenalkan rang undang-undang tersebut untuk menyekat negara dari menjadi tempat transit senjata pemusnah besar-besaran (WMD) langsung tidak dibahaskan.

Dewan Rakyat telah memperuntukkan selama 25 hari untuk Me­syuarat Ketiga bermula dari 19 Oktober hingga 3 Disember 2015. Besar kemungkinan perbahasan TPPA tidak dapat dilakukan pada perjumpaan tersebut kerana isu Bajet 2016 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 23 Oktober sudah pasti akan menjadi tumpuan utama wakil rakyat.

Kongres AS telah memperuntukkan selama 90 hari untuk perwakilan mereka meneliti TPPA sebelum di bahaskan. Bagi wakil rakyat Malaysia pula sudah pasti kerajaan perlu memberi ruang dan masa yang bersesuaian supaya kesemua mereka ini dapat berhujah dengan baik mengenai manfaat atau kerugian TPPA kepada negara dan rak­yat. Jika diperlukan diadakan persidangan khas Dewan Rakyat khusus untuk TPPA maka itu adalah sebaik-baiknya.

Setiap 12 negara dalam TPPA di beri masa 2 tahun untuk membuat keputusan sama ada akan menyertainya atau sebaliknya. Harapannya adalah Dewan Rakyat digunakan sebaik mungkin supaya keputusan yang akan dicapai mesti mengutamakan kepentingan negara dan rakyat dan bukannya mendahului agenda parti politik.

Mungkinkah senario perbahasan TPPA akan menjurus kepada suasana kesemua wakil rakyat berpegang kepada fakta dan tidak partisan adalah sesuatu yang ditunggu oleh rakyat Malaysia.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.