..

..

KERAJAAN HORMATI TITAH MAJLIS RAJA-RAJA, PUAK MENANGGUK AIR KERUH DIBIDAS @Zahid_Hamidi #1MDB

on Friday, October 9, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Hari ini YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan medianya berhubung titah Majlis Raja Raja Melayu yang  menyentuh tentang isu 1MDB harus segera diselesaikan kerajaan. 

Tetapi titah tersebut telah disalah tafsir dan di spin oleh pembangkang  hingga ada yang umpamakan Najib didesak meletak jawatan disebabkan isu 1MDB ini . Malah nada  Timb Presiden UMNO cukup berbeza dan seolah-olah menyalahkan  Najib dalam siasatan 1MDB ini . klik di sini 

TPM dalam kenyataannya turut menzahirkan bahawa kerajaan menjunjung kasih titah Majlis Raja Raja dan juga komited siasatan ini dijalankan secara adil dan terbuka selain mahu menyelesaikan masalah 1MDB ini melalui pelan pengurangan hutang. 
Akhir sekali beliau membidas puak-puak baik di dalam dan luar parti yang seronok mengeluarkan kenyataan masing-masing  seolah-olah kerajaan tidak membuat apa-apa siasatan 1MDB ini . 




KENYATAAN MEDIA
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
8 Oktober 2015

1) Kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum intipati kenyataan 'pre council' Majlis Raja-Raja. Sesungguhnya ini menunjukkan bahawa prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia berpisah tiada.

2) Kerajaan komited dalam mendukung sistem pemisahan kuasa (separation of powers), justeru setiap organ kerajaan perlulah dibenarkan berfungsi seperti yang dijelaskan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah peruntukan berkenaan kuasa-kuasa yang tersurat dan tersirat Majlis Raja Raja.

3) YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Ketua Pentadbiran Kerajaan dan anggota kabinet yang lain mendukung sepenuhnya dan menghormati sistem Raja Berperlembagaan dan juga konsep pemisahan kuasa antara organ-organ Kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4) Segala titah Majlis Raja-Raja dinilai baik dan pihak kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang dititah. Sememangnya kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan dan kenyataan oleh semua pihak.

5) Justeru segala siasatan kepada mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku.

6) Namun begitu pihak kerajaan ingin menegaskan bahawa segala maklumat tentang siasatan berkenaan akan dilakukan secara adil dan terbuka. Sistem perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan adalah jelas dan jika terdapat pihak yang didapati bersalah, maka tindakan undang-undang akan diambil.

7) Kita sedia maklum bahawa pihak Kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang (Debt Rationalisation) bagi syarikat 1MDB. Pelan ini telah disambut baik oleh pelbagai pihak pelabur dari dalam dan luar negara. Pihak kerajaan akan membentangkan pada masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang 1MDB melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut.

8) Pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan menghormati titah-titah Majlis Raja-Raja. Oleh itu kestabilan ekonomi negara, pemulihan nilai matawang Ringgit, keharmonian antara kaum dan pengurangan kos beban hidup rakyat menjadi fokus utama kerajaan. Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat.

9. Diharapkan tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah pihak kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan. Berilah kesempatan dan ruang secukupnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan semua permasalahan dengan sebaik mungkin.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.