Arul Kanda berkata demikian bagi menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.

Menurutnya, beliau bersedia memenuhi permintaan Chua itu dengan syarat anggota parlimen itu terlebih dahulu meletak jawatannya daripada PAC, yang sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB.

"Untuk memelihara integriti siasatan PAC dan mengelak berlakunya percanggahan kepentingan, Tony terlebih dahulu perlu meletak jawatannya daripada PAC," kata Arul Kanda dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam laman sesawangnya, tonypua.blogspot.my, Pua berkata, semasa ditemu bual dalam program 'Bernama TV with Arul Kanda,’ bos 1MDB itu menegaskan tiada suatu pun perkara yang disembunyikan berkaitan 1MDB.

Program itu disiarkan pada 10 malam semalam melalui Astro 502, HyppTV 410 dan www.bernama.com.

Pua mendakwa kebanyakan jawapan Arul Kanda melalui program itu bersifat kitar semula dan menimbulkan keraguan.

Arul Kanda menjawab: "Dalam usahanya berbuat demikian, Tony tidak bolehlah menjadi juri hakim dan pelaksana hukuman.

"Oleh itu, saya percaya beliau memiliki keberanian untuk melakukan perkara yang betul dan melepaskan jawatan dalam PAC untuk membolehkan kami mengadakan, seperti apa yang beliau katakan 'perbincangan tanpa batasan' secara langsung melalui televisyen.".- BERNAMA