Setiausaha Organisasi (Penaja) Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, adalah menghairankan DAP boleh beroperasi seperti biasa sedangkan wujud arahan daripada ROS sendiri yang melarang sebarang aktiviti dijalankan parti itu.

Menurutnya, pemegang jawatan dalam DAP juga tidak dibenarkan membuat sebarang polisi ataupun keputusan berkaitan parti itu sehingga status mereka dimuktamadkan.

“ROS begitu cepat membuat keputusan berkaitan pemilihan parti MIC, namun menunggu begitu lama untuk mengambil ketetapan melibatkan DAP.

“Timbul persoalan di sini adakah pimpinan DAP bebas daripada arahan mandatori tersebut atau mereka kebal daripada undang-undang di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan 1966?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rahmad menambah, beberapa perkara yang dipertikaikan adalah calon DAP dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gelugor dan Teluk Intan, membuat keputusan dalam pelantikan ahli-ahli majlis dan melantik pemegang jawatan di peringkat negeri ini.

Selain itu, jelasnya, pimpinan DAP juga meluluskan usul dan membuat pindaan pada perlembagaan parti, memecat serta meluluskan keahlian baharu, di samping mengutip yuran keahlian dan menjalankan lain-lain aktiviti parti yang meragukan.

“Kelewatan dalam membuat keputusan terhadap parti berkenaan turut meletakkan rakyat negeri ini, khususnya dalam dilema kerana DAP adalah kerajaan peneraju sedangkan Ketua Menteri tiada jawatan yang sah dalam parti.

“Saya yakin sekatan yang dikenakan oleh ROS pada Disember 2013 itu masih terpakai dan bermakna calon-calon DAP juga tidak boleh bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang,” ujarnya.