..

..

Himpunan Baju Merah Bukti Melayu Islam Boleh Bersatu - Penganjur

on Saturday, September 19, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Kejayaan Himpunan Rakyat Bersatu kelmarin yang menyaksikan sokongan padu lebih 200,000 orang Melayu Islam telah mencerminkan hakikat bahawa kaum tersebut boleh bersatu.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, perhimpunan di Padang Merbok itu juga membawa mesej jelas orang Melayu kepada semua pihak agar tidak sesekali mencabar atau menyentuh sensitiviti mereka.

Selain itu, kata beliau, perhimpunan aman berkenaan boleh dilihat sebagai satu manifestasi majoriti rakyat dalam mendukung amalan demokrasi berparlimen berdasarkan pilihan raya di negara ini.

“Kita melihat kebangkitan orang Melayu di ibu kota dan seluruh negara semalam adalah mesej jelas bahawa orang Melayu jangan dicabar dan disentuh oleh mana-mana pihak sekali pun. Dilaporkan juga seramai satu juta orang Melayu turut menunjukkan solidariti dengan berbaju merah seluruh negara.

“Permuafakatan ini juga adalah bukti bahawa kita mendukung amalan demokrasi berparlimen di negara ini yang memberi mandat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memimpin. Ini suara rakyat menyokong Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamal berkata, kejayaan perhimpunan itu sekali gus memberi ‘tamparan realiti’ kepada penganjur perhimpunan haram Bersih 4.0 yang sebelum ini mendabik dada mendakwa diri mereka kononnya membawa suara rakyat.

Apa yang pasti, jelas beliau, Himpunan Rakyat Bersatu yang dianjurkan sebagai reaksi kepada kebiadaban Bersih itu telah membuktikan bahawa orang Melayu menolak sekeras-kerasnya penganjuran perhimpunan haram berkenaan.

Beliau berkata, jika penganjur Bersih selepas ini berhasrat menganjurkan siri perhimpunan haram seterusnya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas dengan mengadakan perhimpunan bantahan pada tempat dan waktu yang sama.

“Kami dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpandangan, jika Bersih hendak buat lagi perhimpunan, kita akan turun pada hari dan waktu yang sama. Jangan cabar kami,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Bersih tidak mengadakan perhimpunan haram mereka dan menghina pemimpin-pemimpin Melayu sebelum ini, Himpunan Rakyat Bersatu tidak mungkin berlaku.

“Perhimpunan Rakyat Bersatu ini dilakukan kerana berlaku kebiadaban pada Bersih 4.0 yang menghina pemimpin-pemimpin kami. Kalau kita tidak diasak, kami sudah terbukti sejak merdeka sanggup berkongsi tetapi orang Melayu jangan dicabar,” tegasnya. – UTUSAN


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.