Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebanyakan ahli UMNO pada masa kini gagal dalam pe­perangan minda dengan musuh melalui media sosial, bahkan turut bergeseran sesama sendiri.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memberitahu, kekuatan politik pada masa dahulu jauh berbeza dengan masa kini yang mana kekuatan minda amat penting untuk dijadikan senjata melawan musuh politik.

“Pada zaman penjajah, kekuatan politik adalah berdasarkan kekuatan senjata, namun kini politik dipengaruhi kekuatan minda.

“Bagaimanapun, jangan kita (ahli UMNO) gagal dalam peperang­an minda melalui media sosial, jangan sesekali ada antara kita ‘menembak’ sesama sendiri dalam media sosial. Perkara itu perlu dihentikan segera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah dekat Masjid Tanah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Ketua Puteri UMNO merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ahmad Zahid berkata, peperangan minda pada masa kini juga lebih kepada 'peperangan' persepsi apabila seseorang itu telah dihukum terlebih dahulu melalui persepsi orang lain.

“UMNO pada masa kini menghadapi 'peperangan' persepsi dan dihukum melalui ‘mahkamah’ pendapat umum. Justeru, ahli parti perlulah menggunakan minda mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa,’’ ujarnya.

Sementara itu kata beliau, ahli UMNO juga perlu menghapuskan sifat hasad dengki yang merupakan kelemahan orang Melayu bagi memastikan perpaduan sentiasa kukuh.

Tambahnya, musuh politik UMNO melihat sifat hasad dengki sesama bangsa sebagai kelemahan yang boleh mereka ambil kesempatan malah mahu sifat itu terus me­nebal dalam diri orang Melayu.

“Sejarah juga memperlihatkan empayar dan tamadun Islam jatuh disebabkan berlakunya khianat, hasad dengki serta saling membenci malah ada yang sanggup berkompromi dengan musuh dan perkara itu secara tidak langsung akan mengikis kekuatan, agama dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu terutamanya ahli UMNO,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk menaik taraf Dewan Tun Syed Ahmad Al-Haj IKBN Alor Gajah sempena majlis tersebut yang turut dihadiri 566 perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah.