Perdana Menteri berkata, pencapaian itu dihasilkan melalui lebih 120 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP) serta sekolah-sekolah lain.

Menurut beliau, beratus-beratus profesional bumiputera kini bekerja di syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Petronas serta syarikat gergasi kewangan seperti J. P. Morgan, Credit Suisse, KPMG dan PricewaterhouseCoopers.

“Kita boleh berbangga apabila mengetahui ramai profesional bumiputera bekerja dengan syarikat-syarikat antarabangsa hampir di setiap bandar besar di seluruh dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Yayasan Pendidikan ALMA di sini malam ini.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Yang turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan ALMA, Datuk Dr. Sulaiman Yassin.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneruskan dasar menghantar pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Beliau memberitahu, dasar itu bertujuan menyediakan tenaga-tenaga pakar yang diperlukan untuk membangunkan negara.

“Tahun lalu sahaja, sekitar 90,000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Kira-kira 30 peratus daripada mereka ditaja oleh agensi kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas, Bank Negara Malaysia, PNB, Khazanah Nasional dan Sime Darby,” jelasnya.

Dalam pada itu, Najib memberi komitmen untuk mencadang kan kepada kira-kira 3.5 juta ahli UMNO untuk menyumbang kepada Yayasan Pendidikan ALMA.

Beliau juga yakin semua GLC yang mencatatkan keuntungan besar bersedia membantu usaha yayasan berkenaan membantu pelajar Bumiputera.

Walaupun kita sedang berdepan situasi kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit, pentadbiran saya tidak akan mengabaikan komitmen untuk berkhidmat kepada semua rakyat termasuk dalam memastikan kese jahteraan serta kemajuan orang Melayu dan Bumiputera,” ujarnya.

Perdana Menteri percaya Yayasan Pendidikan ALMA berupaya menjadi badan contoh di negara ini sekali gus mampu merealisasikan matlamat menaja antara 200 hingga 300 pelajar setahun melalui dana minimum RM300 juta.