..

..

PERTUKARAN PEGAWAI SPRM ITU URUSAN JPA ,TIADA KENA MENGENA PDRM - TPM

on Saturday, August 8, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment





 Pertukaran dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri tiada kena mengena dengan Polis Diraja Malaysia, sebaliknya ia adalah urusan pentadbiran oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap pegawai kerajaan tertakluk kepada arahan dan pekeliling dalam Perintah Am yang ditentukan JPA dan ditandatangani semua pegawai kerajaan yang menerima pelantikan sebagai aku janji.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Sarawak.
Media sebelum ini melaporkan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi, Datuk Rohaizad Yaacob ditukarkan serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri dan mereka diarah melaporkan diri Isnin ini.


Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata beliau memilih Sarawak negeri pertama untuk dilawati selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas, sesuai dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu negeri Sarawak.
Langkah itu, katanya, khususnya dalam menterjemahkan semua komitmen perdana menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang komited untuk memberi bantuan kepada negeri Sarawak biarpun projek yang diluluskan tiada dalam struktur induk dasar untuk negeri ini.
“Namun di atas keprihatinan kerajaan persekutuan untuk melihat infrastuktur dan elemen pembangunan dalam semua aspek diterjemahkan pelaksanaannya, saya bersama perdana menteri komited untuk melaksanakannya sebagaimana yang diminta ketua menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem),” kata Ahmad Zahid.
Kata timbalan perdana menteri, beliau akan memperbanyakkan lawatan ke Sarawak, khasnya di kawasan sasaran yang dikenal pasti, bagi menentukan pelaksanaan projek yang telah dijanjikan itu.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Sarawak, khususnya Barisan Nasional Sarawak, yang berjaya mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dalam rayuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak di Mahkamah Rayuan semalam.
“Ini menunjukkan keikhlasan menambah bilangan kerusi DUN bukan sahaja mengikuti lunas perundangan yang ada, malah oleh kerana Sarawak negeri terbesar di Malaysia, maka adalah munasabah untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya ini bagi menambah jumlah kerusi sedia ada,” katanya.
Mengenai tarikh pilihan raya negeri, Ahmad Zahid berkata ia adalah hak mutlak kerajaan negeri untuk menentukan tarikhnya setelah mengadakan rundingan dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata kerajaan pusat dan BN pusat bersedia dalam apa juga keadaan bagi membantu BN Sarawak dan kerajaan negeri, bukan sahaja meraih sokongan di kawasan yang telah dimenangi pada pilihan raya lepas tetapi turut memenangi kerusi baharu.
“Saya yakin dengan kerjasama erat dan semua program yang disusun, kerusi baharu akan dapat dimenangi oleh BN, malah kerusi tambahan yang selama ini kecundang akan ditebus semula,” katanya.
Mengenai kunjungan hormat beliau kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Ahmad Zahid berkata beliau berterima kasih kepada Yang Dipertua Negeri atas nasihat dan pandangan beliau dalam pelbagai aspek.
“Tun lebih berpengalaman dalam menganalisis semua situasi dan saya berharap hubungan peribadi saya dengan beliau akan memperkukuhkan tautan, talian hubungan rasmi antara Kuala Lumpur dan Kuching atau kerajaan pusat dan negeri,” katanya.
– Bernama


One Response

  1. dr !!! org tahu lah bukan kena mengena dgn PDRM - org nak tahu sebab tukaran mengejut - tlg jawab sebagai TPM bukan Menteri KDN

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.