Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru pada 2 Ogos lalu turut mengingatkan ahli bahawa perpecahan di dalam parti itu lebih mudah dilakukan dari dalam berbanding dari luar.

Beliau yang baru dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet baru-baru ini mahukan perbezaan pendapat disertakan dengan ketertiban, menjaga aib pihak lain serta mempunyai tatasusila tersendiri. Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya melakukan perubahan supaya selari dengan kehendak rakyat hari ini yang disifatkan lebih sofistikated.

Pada hemat penulis, untuk mencapai solidariti yang kukuh dalam parti maka seluruh pucuk kepimpinan dan ahli perlu kembali menghayati perjuangan sebenar parti yang berteraskan bangsa, tanah air dan agama. Ini penting untuk memastikan obor perjuangan UMNO sentiasa menyala mengharungi badai politik yang semakin mencabar. Hari ini kepentingan diri berasaskan kebendaan dan perebutan jawatan (kuasa) telah menjadi penyakit dalam UMNO.

Justeru, seluruh ahli parti mesti segera bangkit merapatkan saf dan membetulkan niat. Usaha ini mesti diterjemahkan dalam seluruh gerak kerja parti secara bersepadu dan penuh keikhlasan walaupun diakui bukan mudah untuk dilakukan dalam keadaan kerajaan hari ini sedang berhadapan dengan beberapa isu seperti 1MDB, dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Demikian juga isu dalaman parti seperti krisis berterusan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, selain isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal selaku menteri kanan. Sayugia diingatkan bahawa di peringkat kepimpinan akar umbi, rakyat terus memerhati.

Justeru, seluruh pemimpin dan ahli UMNO menggalas tanggungjawab yang cukup besar untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu. Hari ini, ramai generasi muda Melayu mencerca dan memaki hamun parti yang telah banyak berjasa itu. Cercaan itu dilakukan melalui media sosial yang menjadi medium utama generasi muda mendapatkan maklumat.

Realitinya, UMNO tidak boleh lagi berasa selamat untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti. Pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh berpecah. Segala masalah yang timbul mesti diatasi segera. Ini penting kerana UMNO tidak mempunyai banyak masa untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Pelbagai isu yang berbangkit hari ini jika tidak diatasi segera boleh melemaskan UMNO dalam persada politik tanah air. UMNO mesti membugar kembali kekuatan parti melalui agenda transformasi yang benar-benar dapat memenuhi dan mengharungi tuntutan zaman. Transformasi tidak boleh diungkapkan secara retorik semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan tindakan dan amalan yang meyakinkan.

Kesimpulannya, komitmen seluruh pemimpin dan ahli UMNO untuk terus bangkit dan merapatkan saf jemaah adalah penting demi memastikan kelangsungan obor perjuangan UMNO diterima rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda. Seluruh ahli UMNO perlu berada dalam satu wadah, satu pasukan dengan satu matlamat untuk memenangi pilihan raya akan datang.

PENULIS ialah Penganalisis Media 
di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia.