Presiden UMNO itu berkata, kesetiaan pemimpin dan kerja sepasukan semua ahli UMNO menjadi senjata utama UMNO dan BN termasuk kejayaan merampas Kedah daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Justeru, beliau menyeru agar semua ahli dan pemimpin UMNO bersatu dan bekerjasama dalam memperkukuhkan parti demi mandat yang diberikan rakyat itu.

“Kalau orang UMNO tidak bersatu, tidak setia kita akan kalah. Macam Kedah kerjasama sebagai satu pasukan dahsyat, sebab itu UMNO, BN Kedah menang sebab kerjasama, bukan individu.

“Saya akan bantu Kedah selagi saya sebagai Perdana Menteri kerana Kedah perlu bantuan dan saya akan pasti kemenangan lebih hebat. Marilah kita rapatkan barisan, kuatkan saf tidak payahlah banyak soseh-soseh, kuatkan parti dan beri kepercayaan.

“Kita tetap bersama supaya suatu hari nanti kita dapat kecapi kejayaan yang diidamkan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; timbalannya yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Perdana Menteri berkata, parti memerlukan kesetiaan ahlinya dengan berusaha mempertahankan parti terutama ketika menghadapi pelbagai cabaran seperti yang berlaku ketika ini.

“Kita mungkin ada tiga juta ahli UMNO tetapi kita nak supaya tiga juta itu jadi ‘orang’ UMNO bukan ‘ahli’ UMNO. Ada bezanya kerana bila sebut orang UMNO, dia faham UMNO mesti kita jaga, pelihara, mesti tatang. UMNO mesti ada kesetiaan dan disiplin.

“Kalau ada kasih sayang pada parti, apa juga cabaran dan dugaan akan kita hadapi dengan jayanya. Saya bertanggungjawab kepada parti dan rakyat. Selagi ada kuasa pasukan (parti) kita menang dan berjaya,” katanya.

Tambah Najib, beliau akan tetap mempertahankan maruah parti kerana kesetiaannya demi mandat yang diberikan semua ahli.

“Saya ada hak duduk dalam parti kerana saya dipilih oleh perwakilan dalam sistem paling demokratik dalam UMNO, tidak ada undi bonus dan kuota, ahli pilih saya selagi ahli mahu saya akan tetap terus pimpin UMNO,” katanya.