Sebaliknya, menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kerajaan negeri akan menggunakan tema sambutan Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat iaitu ‘Sehati Sejiwa’.

Menurut beliau, pertimbangan semula sehingga menyebabkan kerajaan negeri akur menggugurkan tema Bersih, Cekap, Amanah itu berikutan keputusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menarik diri daripada menyertai perbarisan kemerdekaan kali ini.

Sebelum ini, kerajaan DAP Pulau Pinang dikritik banyak pihak selepas dikatakan akan menggunakan slogan ‘Bersih’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Perkara itu berikutan tersebarnya sekeping gambar berbentuk poster di laman sosial yang jelas tertera perkataan ‘Bersih’ yang didakwa akan digunakan dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri ini.

Ekoran itu juga, Pejabat Pendidikan negeri mengeluarkan surat pekeliling yang melarang pihak sekolah rendah dan menengah di negeri ini daripada menyertai acara perbarisan sehingga mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri selepas itu menafikan hanya akan menggunakan slogan ‘Bersih’ sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan, sebaliknya menjelaskan tema sebenar ialah Bersih, Cekap, Amanah. – UTUSAN ONLINE