Beliau berkata, usaha untuk mencari dana bagi keperluan parti dan masyarakat merupakan sebahagian daripada tugasnya sebagai Presiden UMNO dan tidak pernah dipertikai oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Malah menurut Perdana Menteri, penerimaan dana politik merupakan amalan dalam parti sejak dahulu dan beliau hanya meneruskan perkara tersebut.

“Sewaktu menjadi Timbalan Presiden, saya tidak pernah persoal mengenai dana parti. Itu kerja Presiden. (Perkara itu) juga berlaku pada zaman Tun (Dr. Mahathir Mohamad)...saya hanya meneruskan amalan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz.

Najib mengakui bukan tugas mudah menjadi Presiden kerana perlu berusaha keras untuk mencari dana bagi parti, namun pada masa sama memastikan tindakan tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Ramai yang minta (kepada Presiden)...jentera tak boleh gerak sebab duit tak turun, Menteri Besar pun boleh minta daripada saya, tapi saya nak minta dengan siapa...sebab itu saya kena usaha.

“Sebab itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dah kata apa yang saya terima bukan daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan bukan rasuah, tetapi untuk sumbangan kepada parti dan tanggungjawab sosial korporat...bukan untuk kepentingan saya sendiri,” katanya sambil me­nempelak parti pembangkang yang menolak cadangan untuk mengumumkan sumber dana politik seper­ti yang disarankan beliau empat tahun lalu.

Memperjelaskan tindakan meng­gugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, Najib mengakui terpaksa membuat keputusan yang amat sukar, namun sesuatu perlu dilakukan setelah mengambil kira kepentingan politik.

“Ia merupakan keputusan yang amat sukar, tetapi atas sebab tertentu sesuatu perlu dibuat atas kepentingan politik...bukan untuk guris hati orang Johor.

“Saya yakin dan percaya berdasarkan pengalaman dulu (termasuk) ketika ada Semangat 46, Johor masih positif dan membina untuk kembali kepada UMNO. Saya yakin dalam keadaan hari ini UMNO Johor akan terus memainkan peranan membina...sama-sama kita bukan sahaja berdoa tetapi berusaha,” katanya.

Najib turut mengakui Johor bukan sahaja negeri tempat kelahiran UMNO, malah kekuatan parti terbesar Melayu itu di peringkat nasional banyak bergantung kepada sokongan dari negeri ini.

“Amat penting untuk teruskan perjuangan supaya jika mahu UMNO kuat dan dihormati, maka kubu kita, iaitu UMNO Johor mesti dipertahankan,” katanya