Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihaknya ke­cewa dengan dakwaan blog tertentu yang mengeluarkan senarai 20 ahli Parlimen BN dikatakan bersama-sama pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen.
Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meng­ambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan beri­ta palsu berkenaan memandang­kan tindakan itu mencabar ins­titusi Parlimen.
“Kita kena tegas dengan media sosial kerana mereka banyak mengeluarkan berita yang tidak betul... Tidak bertanggungjawab lang­sung.
“Ini adalah dakyah. Saya tahu sikap dan pendirian ahli-ahli saya. Sebagai Ahli Parlimen BN, dari se­masa ke semasa, ada kita tidak se­tuju dengan pemerintah tetapi kita berikan kritikan melalui saluran yang betul,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Seramai 34 ahli-ahli BNBBC ha­dir dalam sidang akhbar tersebut sebagai simbolik bagi menafikan dakwaan blog terbabit.
Kelmarin, Timbalan Perdana Men­teri, Datuk Seri Dr. Ahmad Za­hid Hamidi mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai komplot menggulingkan kerajaan iaitu dokumen akuan bersumpah yang menyasarkan 37 Ahli Parlimen BN.
Berikutan dakwaan itu, sema­lam tersebar di media-media sosial senarai 20 Ahli Parlimen BN yang dikatakan bersama-sama pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen.
Shahrir semalam tampil menafikan dakwaan media-media sosial terbabit.
Dalam pada itu, Shahrir menolak kemungkinan bahawa berita palsu tersebut disebarkan dengan matlamat untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu semasa yang lain.
Katanya, beliau akan berjumpa dengan Ahmad Zahid melalui satu program permukiman pada minggu depan bagi membincangkan berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri berkenaan.
Ditanya berhubung tindakan Ahmad Zahid mengaitkan dalang komplot berkenaan dengan tokoh dalam UMNO, Shahrir memberitahu, BNBBC akan adakan pertemuan tersebut.
“Buat masa ini, kita tunggu dahulu,’’ jelasnya.