Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas sama sekali dan pihaknya akan mengadakan sidang akhbar esok berhubung isu berkenaan.

“Ahli-ahli BNBBC tidak terlibat dan esok kita akan adakan sidang akhbar di Parlimen,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai komplot menggulingkan kerajaan iaitu dokumen akuan bersumpah yang menyasarkan 37 Ahli Parlimen BN.
Berikutan dakwaan itu, hari ini tersebar di media-media sosial senarai 20 Ahli Parlimen BN yang dikatakan bersama-sama pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen.

Sementara itu, Shahrir dalam portal berita BNBBC.my berkata, dakwaan berkenaan merupakan satu fitnah dan spekulasi yang amat berbahaya.

Sehubungan itu, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak menggunakan akta sedia ada bagi menyekat pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut.

Katanya, perkara itu jelas merupakan salah satu bentuk penyalahgunaan teknologi sekali gus menghina institusi Parlimen dan proses demokrasi pemilihan ahli-ahli Parlimen.

Antara ahli BNBBC yang dikaitkan ialah Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad; Datuk Bung Mokhtar (Kinabatangan), Datuk Hasbullah Osman (Gerik) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Semporna).

Turut dikaitkan ialah Ahli Parlimen BN yang menganggotai Kabinet seperti Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed