Ketua Polis Negara, Tan Sri Kha­lid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengalu-alukan pemberi maklumat secara tulen.

Kata beliau, sebaliknya tindakan memberikan maklumat secara terpilih atau pendedahan hanya kepada media tertentu, mungkin menimbulkan suasana huru-hara dalam kalangan masyarakat.

“Pemberi maklumat akan dilin­dungi di bawah peruntukan undang-undang Malaysia apabila mereka hadir dengan cara yang betul dan sah. PDRM juga mengalu-alukan pemberi maklumat yang sebenar.

“Perbuatan mendedahkan maklumat yang didakwa ‘maklumat sebenar’ melalui media hanya akan mengakibatkan salah faham, persepsi yang bercanggah serta keadaan huru-hara,” kata beliau melalui laman twitter miliknya di sini hari ini.

Malah, Khalid turut mengingatkan orang ramai tentang peranan PDRM yang sentiasa mahu memastikan kesejahteraan dan keamanan masyarakat Malaysia sentiasa terjamin.

“Kami berkhidmat untuk rakyat dan tidak akan membenarkan rak­yat dikelirukan oleh pihak yang mempunyai motif tertentu,” katanya.

Menerusi laman twitter miliknya itu juga, Khalid turut mencadangkan memperkemaskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk mengesan pemberi maklumat tulen.

“Menerusi akta tersebut, pemberi maklumat tidak berhak mendapat perlindungan jika bertindak mendedahkan maklumat yang diketahui mereka kepada media,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri semalam bertindak menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, selama tiga bulan berkuat kuasa Isnin depan.

Tindakan itu diambil kerana Kementerian Dalam Negeri berpendapat, dua laporan oleh akhbar tersebut berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh memudaratkan kepentingan awam dan negara.