Tekad itu dipacu oleh rasa yakin dan percaya beliau terhadap visi Perdana Menteri yang mahu membawa negara ke arah lebih cemerlang dalam semua aspek kehidupan.
“Sepanjang berada dalam Kabinet selama kira-kira dua tahun dua bulan, saya dapat lihat dengan jelas visi dan misi Perdana Menteri yang mahu melihat rakyat dan negara dibangunkan dan diletakkan pada kedudukan lebih tinggi.
“Jadi atas keyakinan ini, saya akan terus membantu Perdana Menteri mungkin dalam bentuk yang lain selepas ini,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Chedang di sini hari ini.
Hasan yang kelihatan tenang dengan ditemani para pegawai memberitahu, tidak ada rasa kecewa dalam dirinya ekoran pengguguran itu sebaliknya beliau menerimanya sebagai ketentuan Ilahi.
Malah, beliau mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk mengalas jawatan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Jelasnya, pengalaman selama 20 tahun dalam politik kepimpinan bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama dua penggal sebelum bertanding di peringkat Parlimen pada 2004 membolehkan beliau menerima pengguguran itu dengan hati yang terbuka.
Katanya, beliau masih mempunyai platform untuk terus mencurahkan khidmat iaitu sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Ditanya mengenai situasi politik selepas ini, Hasan enggan meramalkan apa yang bakal berlaku kerana menyifatkan politik sebagai suatu benda yang hidup dan berubah-ubah.
“Yang penting semua ahli UMNO walau apa pun keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan harus berdiri teguh di belakang pemimpin sama ada secara zahir atau batin serta melalui percakapan, perbuatan dan apa yang dizahirkan oleh hati,” ujarnya.