Peletakan jawatan wakil Pas dalam kerajaan negeri tidak akan memberi sebarang impak terhadap PR di Pulau Pinang.

Malah kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri tidak sedikit terjejas tanpa wakil Pas.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP dan PKR masih menikmati majoriti selesa 2/3 dengan 29 dari 40 kerusi walaupun tanpa Adun tunggal Pas.

Menurutnya, peletakan jawatan wakil Pas dalam kerajaan negeri tidak dapat dielakkan berikutan keputusan Muktamar Pas semalam menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan bagi memutuskan hubungan dengan DAP meskipun kekal dalam PR.

Beliau berkata, peletakan jawatan yang dijangkakan dari wakil Pas dalam kerajaan negeri akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana tiada sebarang impak terhadap kestabilan kerajaan negeri.

"Walaupun tiada perdebatan dibenarkan bagi usul itu namun kepimpinan Pas yang baharu berhak mengemudi parti dengan cara yang difikirkan wajar sama ada melalui demokrasi atau autokrasi.

"Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkan kepada Pas untuk menjawab kedudukan kontradik mereka apabila memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR yang terdiri dari DAP, PKR dan Pas," katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Menurutnya, PR berfungsi atas konsensus semua parti dan tiada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.

Guan Eng berkata, disebabkan Pas mahu memutuskan hubungan dengan DAP, wakilnya tidak mempunyai pilihan kecuali meletak jawatan dalam kerajaan negeri termasuk agensinya, majlis perbandaran dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan komuniti (JKKK).

"Walaupun sebelum ini hubungan saya mesra dan baik dengan kebanyakan wakil Pas, saya faham bahawa mereka perlu meletakkan jawatan atas sebab-sebab etika dan moral.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diketuai saya atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung DAP apabila Muktamar Pas memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.


Komen GPB

Ini membuktikan PAS tak berguna sesen pun di P.Pinang dan mereka masih lagi boleh memerintah dan berkuasa.