Setiausahanya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, MBPP memaklumkan pada saat-saat akhir bahawa permohonan berkenaan perlu dibuat secara dalam talian dan bukannya menghantar borang secara terus ke pejabat mereka di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Katanya, perkara berkenaan hanya dimaklumkan kira-kira pukul 11.30 pagi ini kepada kakitangan JKP Sdn. Bhd. iaitu pemilik bangunan berkenaan sedangkan mereka hadir ke Bahagian Pelesenan MBPP sejak pukul 8 pagi.
"Ini menunjukkan contoh kerenah birokrasi yang wujud dalam MBPP dan saya menggesa Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail supaya memandang serius perkara ini dan berlaku adil.
"Bayangkan, sebuah parti politik seperti UMNO dilayan seperti ini, bagaimana pula dengan nasib rakyat yang mahu berurusan dengan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam bersama kira-kira 50 ahli parti itu tiba di tingkat tiga, Komtar untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada MBPP berhubung tindakan penguat kuasa cuba merobohkan struktur logo UMNO pada Jumaat lalu yang mencetuskan kekecohan.
Bagaimanapun, pasukan keselamatan Komtar bertindak menutup laluan utama masuk ke pejabat kerajaan negeri manakala memorandum berkenaan diterima wakil MBPP selain kira-kira 50 anggota polis juga dilihat berkawal di situ.
Sementara itu, beberapa lelaki dilihat membakar bendera DAP di pekarangan Komtar selepas penye­rahan memorandum berkenaan