Menurut beliau, sebelum ini beberapa pemimpin Melayu seperti bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor dan Tunku Abdul Aziz menerima nasib seperti ‘habis madu sepah dibuang’ menyebabkan mereka keluar DAP.

Dalam masa sama, katanya, taraf keahlian A. Samad itu boleh dipertikai kerana status pemegang Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tersebut yang masih tergantung ekoran krisis dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Walaupun agak terkilan kerana beliau memilih DAP sebagai pentas politik dan kita mengakui agama Islam dan hak orang Melayu bukan keutamaan perjuangan parti itu, tetapi itu adalah hak beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan penyertaan A. Samad dalam parti berkenaan dan pemilihan parti itu dibuat Sasterawan Negara berkenaan yang beranggapan nama parti tersebut cukup harum.

Sementara itu, Rahmad turut mengingatkan A. Samad supaya tidak mudah lupa dengan apa yang pernah berlaku kepada bekas pemimpin Me­layu dalam DAP sebelum ini.

“Sebelum ini, Zulkifli pernah menyatakan nilai orang Melayu dalam DAP hanya 50 sen kerana kecewa dengan dasar parti itu dan hari ini pemimpin-pemimpin DAP yang masih belum disahkan jawatan mereka mengalu-alukan keha­diran A. Samad,” katanya.