..

..

MALAYSIA AMBIL PERHATIAN SERIUS SITUASI BOAT PEOPLE PELARIAN ROHINGYA

on Friday, May 15, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Samad dan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun pada Jumaat bersatu suara melahirkan kebimbangan terhadap masalah 'boat people' atau kumpulan pendatang dari Rohingya dan Bangladesh.
Ribuan mereka kini berada di di atas puluhan bot di tengah-tengah Laut Andaman selepas gagal mendarat di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Mereka dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dan mangsa kekejaman junta tentera Myammar dan pelarian ekonomi dari Bangladesh.
Najib memberi jaminan Malaysia sedang "mengambil langkah sewajarnya untuk menguruskan krisis kemanusiaan itu".
“Ini adalah isu melibatkan kepentingan antarabangsa dan serantau.
"Kita sedang berhubung dengan semua pihak berkenaan, yang kita sampaikan hasrat kita agar satu penyelesaian kepada krisis ini ditemukan," kata perdana menteri dalam kenyataan.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra sedang menguruskan perkara itu.
“Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk pemerdagangan manusia. Sesiapa yang didapati melakukan kezaliman ini dan melanggar undang-undang kita akan dipertanggungjawabkan," kata Najib.
Awal minggu ini, lebih 1,000 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar tiba dengan beberapa buah bot di Langkawi selepas mereka mendakwa ditinggalkan oleh pihak yang menyeludup mereka.
Sementara itu, Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahril Samad berkata BNBBC mengesyorkan supaya Malaysia, Indonesia dan Thailand mengambil langkah segera dibawah naungan UNHCR utk mengujudkan sebuah penempatan sementara untuk pelarian Rohingya sambil menunggu penyelesaian oleh kerajaan Myanmar.
"Penempatan sementara ini adalah bertujuan mengelakkan berlakunya satu tragedi kemanusiaan terhadap mereka apabila dipaksa balik ke laut," katanya.
Menurut beliau, Malaysia pernah berdepan dengan perkara yang sama semasa era "boat people" pelarian Vietnam.
"Ketika itu juga Malaysia menunjukkan kepada dunia betapa tinggi prinsip Malaysia dalam soal kemanusiaan walaupun negara-negara jiran mengusir bot-bot mereka dari perairan wilayah masing-masing," ujarnya.
Malaysia pernah menempatkan pelarian perang Vietnam di sebuah pulau di Terengganu, iaitu Pulau Bidong sebagai penempatan sementara pelarian sebelum pergi ke negara ketiga atau menunggu perang tamat untuk pulang ke negara asal.
Jelas Shahrir, dari segi pembiayaan dan bantuan, adalah diharapkan PBB, ASEAN dan OIC akan sama-sama membantu.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO melihat situasi "boat people" ini dengan penuh kebimbangan terhadap keadaan yang dihadapi oleh 8,000 rakyat Rohingya dan pelarian Bangladesh yang masih terkandas di laut tanpa makanan dan air.
"Tindakan dan penganiayaan kerajaan Myanmar terhadap rakyat Rohingya tidak lagi menjadi perkara domestik tetapi ianya diletakkan sebagai krisis kemanusiaan serantau yang perlukan tindakan segera oleh komuniti ASEAN," kata Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun.
Jelas nya, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN perlu mengadakan mesyuarat tergempar dan membuat tuntutan bahawa kerajaan Myanmar menghentikan diskriminasi terhadap rakyat Rohingya dimana hampir 1 juta Rohingya telah dinafikan kewarganegaraan, kebebasan untuk bersuara, akses kepada pendidikan dan faedah lain di Myanmar lantas membawa kepada penghijrahan tersebut.
"Pemuda UMNO akan menyertai beberapa organisasi dan individu untuk menghantar apa sahaja bantuan yang perlu bagi pelarian terkandas, termasuk air minuman yang bersih dan makanan dalam tin bagi membantu merekabyang sedang di dalam keadaan terdesak.
"Memandangkan ini adalah isu serantau, Pemuda UMNO juga akan menulis kepada semua pemimpin muda seluruh negara dibawah naungan ASEAN bagi mengambil pendirian yang lebih proaktif dalam membantu nasib pelarian Rohingya. Ini adalah masa untuk bertindak, bukan hanya untuk untuk berbincang, dan hanya tindakan serantau dapat menangani krisis serantau ini,"katanya.
Kebanjiran pelarian itu ekoran operasi besar-besaran pihak berkuasa Thailand terhadap jenayah pemerdagangan manusia, menyebabkan mereka yang terlibat jenayah itu mengabaikan pelarian yang diperdagangkan.
Ia susulan penemuan 33 mayat dipercayai pelarian Myanmar dan Bangladesh, yang ditanam berdekatan sempadan Thailand-Malaysia.-15/5/2015


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.