Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan itu seolah-olah tidak menghormati kehadiran Seri Paduka dan membe­lakangkan peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan.

“Sepatutnya kena pakai sebab majlis ini melibatkan kehadiran Seri Paduka iaitu sebuah institusi yang besar bukannya persidangan seperti biasa.

“Kalau tidak pakai maksudnya tidak hormat pada tuanku dan peraturan mesyuarat yang kita sendiri buat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian itu.

Hampir kesemua Ahli Parlimen pembangkang hadir ke perasmian tersebut dengan hanya memakai sut dan baju kebangsaan berwarna hitam meskipun telah digalak­kan memakai pakaian istiadat khas berwarna putih.

Tindakan tersebut adalah bagi memprotes keputusan penghakiman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kegagalannya mendapat kebenaran untuk menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat kerana sedang menjalani hukuman penjara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang memakai pakaian istiadat berkata, persetujuan memakai pakaian hitam yang telah dicadangkan pembangkang sebelum ini bukanlah satu peraturan yang perlu dipatuhi.
“Itu bukan peraturan untuk pemimpin pembangkang,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke menegaskan tindakan tersebut tidak melanggar kod etika pakaian yang ditetapkan, justeru mana-mana wakil rakyat bebas menggunakan sut atau baju kebangsaan berwarna hitam.
“Tujuan kami adalah sebagai sokongan kepada Anwar dan memprotes keputusan pihak berkuasa kerana tidak membenarkannya hadir ke persidangan,” katanya