Hari ini, kenderaan rasmi Guan Eng dengan nombor pendaftaran PG 1 yang diletakkan di luar petak letak kenderaan sekali lagi menjadi perbualan hangat pengguna media sosial khususnya dalam kalangan penduduk negeri ini.
Kenderaan jenis Mercedes-Benz S300L itu bukan sahaja dikesan diletakkan di luar petak letak kenderaan, malah di sebelah pili bomba di King Street, Georgetown di sini kira-kira pukul 11.15 pagi ini.
Lebih menimbulkan kemarahan pengguna media sosial apabila ada yang mendakwa terdapat petak meletak kenderaan yang kosong di lokasi itu namun tidak digunakan pemandu kenderaan rasmi Ketua Menteri berkenaan.
Gambar itu yang dimuat naik dan dikongsi beberapa pengguna media sosial Facebook mengundang kritikan banyak pihak termasuk yang mengaitkannya dengan salah guna kuasa oleh Ketua Menteri.
Malah, ada yang mencadangkan mana-mana penduduk negeri ini yang pernah disaman PBT kerana kesalahan letak kenderaan memulangkan semula notis saman mereka kerana mendakwa PBT memilih bulu dalam penguatkuasaan mereka.
Ini merupakan kali kedua kenderaan rasmi Guan Eng dikesan melanggar undang-undang PBT selepas kali pertama pada November tahun lalu yang turut menjadi ‘viral’ di laman sosial.
Dalam kejadian itu, kenderaan sama diletakkan secara haram di lorong basikal berhadapan Depoh Hin Bus di Jalan Gurdwara di sini.
Malah, laporan mengenai kesalahan meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan itu turut dibuat di laman Facebook Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Watch.