..

..

ANWAR DIHUKUM PENJARA 5 TAHUN DI SUNGAI BULOH

on Tuesday, February 10, 2015 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




 Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu disampaikan pada jam 2.05 petang tadi. 

Mahkamah Persekutuan mendapati  Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam itu.

Dengan keputusan ini, Anwar gagal mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya.

Peguam Anwar, Gopal Sri Ram telah meminta masa sehingga jam 1 untuk proses mitigasi.

Keputusan itu disampaikan selepas perbicaraan selama lapan hari, menjangkaui jadual asal perbicaraan selama dua hari.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu atas alasan mahkamah tidak pasti secara 100 peratus tentang sampel yang diambil daripada mangsa bagi ujian DNA.

Mahkamah memutuskan bahawa sampel itu mungkin telah diganggu atau tercemar sebelum ia sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Walau bagaimanapun, pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mahkamah juga mendapati Anwar gagal membuktikan dakwaannya bahawa wujud konspirasi politik dalam pertuduhan terhadapnya.

Dengan keputusan ini, Anwar, 67, boleh hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.
   
Anwar diwakili sepasukan 15 orang peguam yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat belas peguam yang lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Gobind Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R. Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Khim Choon, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu. Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ini merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar.    

Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, Kuala Lumpur pada tahun 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Mahkamah mengarahkan beliau menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara enam tahun kerana rasuah, setelah didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah pada 4 April, 1999.

Namun selepas menghabiskan hampir enam tahun di penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept, 2004, selepas Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian menjadi Ketua Hakim Negara, mengubah sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atas beliau atas tuduhan liwat, dengan keputusan majoriti 2-1.
     
Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti, berkata hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja "terlibat dalam kegiatan homoseksual" dan hakim-hakim lebih cenderung untuk mempercayai bahawa liwat yang didakwa itu memang berlaku.


One Response

  1. Anonymous says:

    apalah sangat duduk 5 tahun d sg buluh berbanding hukuman Allah d akhirat nanti...ini baru d dunia

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.