Ketuanya, Mohd. Hilmie Ibrahim berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, tindakan memecat Khairuddin perlu diambil oleh UMNO memandangkan Perlembagaan parti telah menetapkan setiap individu yang memegang jawatan tidak boleh diisytihar muflis.
“Kami harap ada siasatan dibuat ke atas perkara ini kerana kita tidak mahu seorang pemimpin yang dipilih sebenarnya sudah muflis tetapi masih memegang jawatan selain lantang mengkritik parti sendiri.
“Dokumen yang diserahkan termasuk salinan surat daripada Jabatan Insolvensi yang menunjukkan beliau muflis, maklumat mengenai 138 syarikat milik Khairuddin dan surat saman polis,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan dokumen tersebut kepada Ab. Rauf di Ibu Pejabat UMNO Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


Sebelum ini, Khairuddin menimbulkan kontroversi apabila membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta anak syarikatnya kerana menjalankan perniagaan yang boleh dipersoalkan serta mahu siasatan terperinci dan komprehensif dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah syarikat itu.
Berikutan tindakan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah Sabtu lalu, bagi meminta siasatan dibuat terhadap Khairuddin kerana didakwa membuat laporan palsu berhubung 1MDB.
Tidak cukup dengan dakwaannya terhadap 1MDB, Khairuddin dilihat sengaja mencari populariti dengan menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO apabila beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang antara lain mendakwa pemimpin UMNO Pulau Pinang tidak melakukan kerja sebaliknya hanya ‘tidur’.
Mengulas perkara itu, Mohd. Hilmie berkata, Khairuddin seolah-olah telah lupa siapa dirinya yang sebenar apabila cuba bertindak sebagai pemimpin yang hebat sedangkan beliau sendiri tidak pernah berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Sementara itu, Ab. Rauf berkata, beliau akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu termasuk mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang sebelum menyerahkannya kepada UMNO Pusat untuk mengambil tindakan.
“Semua dokumen dan dakwaan ini perlu dirujuk kepada penasihat undang-undang terlebih dahulu sebelum dibawa kepada jawatankuasa pengurusan untuk tindakan lebih lanjut, apa pun saya akan siasat setiap perkara,” katanya. UTUSAN