Yang Dipertua Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (GPMPP), Mohd. Rizuad Mohd. Azudin berkata, dasar itu sesuatu yang cukup sensitif dan secara terang-terangan menunjukkan parti berkenaan tidak menghormati Perlembagaan negara serta kontrak sosial yang menjadi panduan dalam pentadbiran negara selama ini.

Sambil menyifatkan dasar itu sebagai melampau, beliau turut mengingatkan DAP dasar itu boleh mengundang kepada rasa tidak puas hati orang Melayu, sekali gus merosakkan perpaduan antara pelbagai kaum yang sedia terjalin ketika ini.

“Dasar itu tidak matang kerana DAP seolah-olah tidak sedar pengorbanan dan keikhlasan orang Melayu di negara ini dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

“Saya mahu mengingatkan Dinasti Lim yang bumi Malaysia ini amat unik dan DAP jangan sesekali memperlekehkan kaum pribumi untuk kepentingan mereka dan kroni-kroni,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak supaya DAP menjelaskan dasar parti itu seperti tertera di laman web rasmi mereka.

Dasar DAP itu termaktub di bawah perkara ‘Berkenaan Perlembagaan Persekutuan’ yang turut menyebut mengenai ‘penggantian sistem kuota etnik dengan dasar merit dan keperluan’.

Dalam pada itu, Mohd. Rizuad turut melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin DAP yang semakin ghairah menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama yang bertujuan meraih sokongan politik.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa memantau lebih rapi dan mengambil tindakan tegas terhadap parti tersebut kerana tindakan mereka jelas bertentangan dengan undang-undang dan boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.


Sementara itu, Naib Pengerusi DAP negeri, Zairil Khir Johari ketika dihubungi 
mengesahkan kewujudan dasar tersebut, namun menjelaskan ayat yang digunakan bagi menyatakan dasar berkenaan sebagai ‘mengelirukan’.

“Maksudnya bukan menghapuskan kedudukan Melayu tetapi mewujudkan kesaksamaan dan keadilan untuk semua rakyat,” katanya. -UTUSAN -