Jumlah itu mewakili kira-kira 40 kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan yang bermula di Vision Park ke Masjid Abdullah Fahim.

Bagi sebuah program yang berstatus ‘peringkat negeri’, jumlah penyertaan orang ramai ke program itu boleh dianggap mengecewakan.

Ironinya di Universiti Sains Malaysia (USM) di bahagian pulau negeri ini, lebih 8,000 orang menghadiri acara sambut­an sama yang dianjurkan Majlis Tindakan Persekutuan Ne­geri Pulau Pinang (MTPNPP).

Jumlah peserta itu mewakili sebanyak 177 buah kontinjen daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ber­arak sejauh tiga kilometer bermula di Padang Kawad, USM.
Perarakan itu berakhir di Dewan Tunku Syed Putra USM untuk disusuli pula dengan acara ceramah perdana, qasidah dan nasyid.

Sambutan lebih meriah umat Islam di negeri ini terhadap program Maulidur Rasul anjuran MTPNPP berbanding oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah manifestasi rasa kecewa mereka terhadap kerajaan ne­geri.

Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Tahun lalu, perarakan sama juga berlangsung dalam jarak singkat yang mana peserta ha­nya berjalan dari Padang Kota Lama ke Dewan Sri Pinang yang terletak bersebelahan dan tidak membawa sepanduk.
Perubahan yang disifatkan sebagai ‘penambahbaikan’ oleh kerajaan negeri itu mengundang rasa kurang senang umat Islam di negeri ini apatah lagi secara tradisinya sejak 20 tahun lalu, Maulidur Rasul disambut cukup meriah di negeri ini.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah mengapa secara tiba-tiba Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat tidak senang dengan perarakan sempena Maulidur Rasul.
Sedangkan acara itu tidak mengganggu mana-mana pihak kerana diadakan jauh dari kawasan kediaman serta berlangsung pada hari cuti umum.

Jika perayaan lain yang turut melibatkan perarakan boleh diberikan kebenaran, mengapa perarakan Maulidur Rasul yang mengambil masa hanya beberapa jam menjadi masalah besar kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Paling mengecewakan apabila wujud dakwaan Kerajaan DAP Pulau Pinang menolak permohonan MTPNPP untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri.
Sekiranya Kerajaan DAP Pulau Pinang benar-benar ikhlas untuk memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di seluruh ne­geri ini, mereka akan membuka pintu dan memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengadakan acara tersebut.

Adakah kerajaan negeri bimbang program yang dianjurkan pihak lain akan membayangi program anjuran mereka?

Namun meskipun ditolak, program sambutan Maulidur Rasul anjuran MTPNPP itu tetap berlangsung meriah di USM berbanding program sama di peringkat negeri dan Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya berasa malu dengan hakikat itu.