Tegas Omar, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh Guan Eng terhadapnya dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir melalui artikel terbabit.

“Saya merasa amat malu dan tuduhan dilemparkan Guan Eng ini berunsur fitnah bagi merosakkan reputasi saya dan syarikat Maison Heights Sdn. Bhd.

“Sudah berkali-kali penjelasan dibuat berhubung urus niaga berkaitan penjualan tanah di Balik Pulau ini, namun Guan Eng tetap memburukkan saya dan Musa dengan menggambarkan kami selaku pemimpin tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, dalam artikel bertajuk ‘Pembohongan UMNO’ yang disiarkan portal berita Malaysian Insider, Guan Eng mendakwa pemimpin UMNO sendiri mengkhianati orang Melayu dengan menjual tanah-tanah milik golongan terbabit demi keuntungan.

Melalui artikel terbabit, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya itu menegaskan, pemimpin UMNO Pulau Pinang membeli tanah orang Melayu dan menjualnya kepada pihak ketiga bukannya DAP.

Jelasnya, perkara berkenaan dapat dilihat dalam isu pembelian tanah dimiliki 31 orang Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau pada 31 Januari 2012 dengan harga RM8.6 juta oleh syarikat Maison Height Sdn. Bhd., yang kemudiannya menjual semua tanah berkenaan demi mendapatkan keuntungan sebanyak RM5 juta dengan harga RM13.5 juta kepada pihak ketiga pada 16 Mei tahun sama.

“Maison Heights Sdn. Bhd., dimiliki oleh Musa dan Omar dan dengan mengecam kedua-dua pemimpin UMNO ini kerana mendapatkan keuntungan melalui penjualan tanah orang Melayu di Balik Pulau, saya pula dipersalahkan,” katanya.

Sementara itu, Omar yang juga Pengarah Maison Heights Sdn. Bhd., menambah, semua transaksi urus niaga membabitkan tanah di Balik Pulau itu dibuat mengikut undang-undang dan mendapat persetujuan tuan tanah terdahulu.

“Ingin saya tegaskan transaksi jual beli tanah ini sama sekali tidak membabitkan tindakan menzalimi mana-mana pihak terutama orang Melayu seperti digambarkan Guan Eng yang menjadikan isu ini sebagai modal politik bagi meraih sokongan awam.

“Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang ini sangat tidak bertanggungjawab dan cuba memalu serta merosakkan reputasi saya,” jelasnya.