Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertua Negeri yang mewakili Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri berkenaan.

“Walaupun fatwa harus dilaksanakan di peringkat negeri dan hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, kuasa eksekutifnya tidak terletak kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Karnival Sukan Air Bagan Datoh yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Jeti Bagan Datoh di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang dilaporkan beberapa portal berita semalam, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.

Ahmad Zahid seterusnya memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika menerima laporan polis berhubung pendirian Guan Eng tersebut.

Menurutnya, isu berkaitan hal ehwal agama Islam sepatutnya diserahkan kepada Mahkamah Syariah yang akan melakukan pendakwaan terhadap mana-mana pihak.