..

..

GUAN ENG BERKERAS , PERTAHAN PENDIRIANNYA BOLEH GUNA KALIMAH ALLAH

on Monday, December 15, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments





GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini mempertahankan pendiriannya bahawa penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah di negeri itu sambil menegaskan Enakmen Agama Islam Negeri tidak boleh dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini berkata, pendirian itu adalah selaras dengan hak asasi dan moral.

Sambil menafikan dakwaan dia cuba campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Agama Islam negeri itu, Guan Eng mengulangi pendiriannya bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

Menurutnya lagi, apa jua fatwa tidak boleh dikuatkuasakan ke atas penganut agama lain di negeri itu kerana ia hanya termaktub kepada umat Islam.

Dalam pada itu, Guan Eng juga menafikan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa dia cuba mencampuri urusan agama Islam di negeri itu.

Sebaliknya Guan Eng meminta Zahid supaya mengajukan persoalan tersebut kepada pemimpin MCA kerana mencabar kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya memansuhkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 bagi membolehkan penganut agama lain menggunakan kalimah Allah.

Tegasnya,  masyarakat bukan Islam dan sebahagian penganut Islam secara umumnya tidak bersetuju dengan larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian oleh kerajaan Persekutuan, tetapi tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan penerbit 'The Herald' daripada mengunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Kontroversi berhubung penggunaan kalimah Allah di Pulau Pinang tercetus apabila Guan Eng menyatakan pendirian bahawa penganut agama lain boleh menggunakan kalimah tersebut di negeri itu.

Berikutan kenyataannya itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam Ifan Zaimi Mad Taha semalam memfailkan laporan polis terhadap Guan Eng di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Dalam reaksinya semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi memandangkan Majlis Fatwa negeri telah mengazetkan perkataan Allah serta 40 lagi perkataan berkaitan Islam yang tidak boleh diguna pakai oleh penganut agama lain di negeri itu.

Beliau berkata apabila sudah digazetkan oleh Majlis Fatwa, perkara itu bukan sahaja tertakluk kepada orang Islam, tetapi bukan Islam kerana pelantikan Mufti Pulau Pinang adalah di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Zahid Hamidi, ketika mengulas perkara tersebut di Perak semalam, dilaporkan sebagai berkata Ketua Menteri di sebuah negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau menentukan sesuatu keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertua Negeri yang mewakili Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri berkenaan.   


SUMBER : AWANI 


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.