Menurut Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid, melalui maklumat yang diperoleh, pihaknya mendapati 180 unit rumah di Intan Delima, Bandar Cassia di Batu Kawan dijual pada harga melebihi RM306,000 sedangkan harga siling bagi penjualan rumah di kawasan terbabit ditetapkan adalah RM250,000.


Katanya, pihaknya mempunyai bukti bahawa projek perumahan di kawasan terbabit melibatkan pengambilan tanah dengan harga yang rendah oleh PDC tetapi menjual rumah yang dibangunkan pada harga melampau.

“Harga jualan rumah di kawasan ini juga ditetapkan pada harga yang jauh lebih tinggi daripada permohonan dibuat kerajaan negeri kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini.

“Melalui permohonan itu, kerajaan negeri menetapkan harga maksimum rumah di Bandar Cassia ini akan dijual pada harga RM220,000, namun hakikatnya harga jualan yang ditetapkan lebih daripada RM306,000,” katanya kepada pemberita di DUN di sini hari ini.

Jahara berkata, pihaknya mahu penjelasan berhuhung isu harga rumah dijual PDC itu dibuat segera oleh kerajaan negeri.

Katanya, bukan sahaja harga rumah di Bandar Cassia yang dijual dengan harga tinggi bahkan harga rumah di Bayan Mutiara, Bayan Lepas di sini juga tidak mengikut harga si
ling apabila harga jualannya mencecah RM3 juta biarpun projek dibangunkan oleh agensi kerajaan negeri.

“Beberapa projek perumahan yang ingin dibangunkan oleh agensi Kerajaan Pusat sehingga kini tidak diberikan kelulusan atas alasan pengambilan tanah dilakukan dengan harga rendah tetapi harga jualan rumah yang dicadangkan didakwa tinggi.

“Kerajaan negeri jangan ingat rakyat bodoh dan tidak tahu apa-apa, kenapa pengambilan tanah dijadikan alasan untuk tidak meluluskan projek perumahan yang ingin dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn. Bhd. sedangkan PDC juga menggunakan kaedah yang sama.” tegasnya.


Layanan istimewa kepada Ivory 

Dalam perkembangan lain, Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar mendesak kerajaan negeri menjelaskan berhubung layanan istimewa yang diberikan kepada Ivory Propeties Group dalam proses penjualan tanah milik PDC kepada syarikat terbabit.

“Melalui surat daripada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo memaklumkan setakat ini pembayaran dibuat syarikat tersebut hampir bernilai RM300 juta.

“Namun dalam perjanjian jual beli, setakat ini, Ivory Properties Group Berhad sepatutnya telah membayar lebih RM600 juta kepada kerajaan negeri, jadi mana perginya kira-kira RM400 juta lagi jumlah pembayaran seperti yang dipersetui dalam perjanjian?” katanya.

Tegas Jahara, penjualan tanah terbabit dilakukan dengan harga yang rendah dan kini syarikat itu mendapat layanan istimewa pula daripada kerajaan negeri.

“Kita mahu perkara ini dijelaskan dengan teliti oleh kerajaan negeri termasuk dakwaan bakal menanggung kerugian sebanyak RM800 juta jika mahu membangunkan rumah mampu milik dan kos rendah di negeri ini,” jelasnya