..

..

PERBADANAN BUKIT BENDERA TAK WARTA DIURUSKAN SEPERTI SYARIKAT SENDIRI @dzainalabidin

on Wednesday, November 12, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




 Enakmen Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang 2009 yang diluluskan pada tahun 2009 masih belum diwartakan sehingga hari ini.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan pengurusannya tidak dikendalikan secara teratur dan tersusun seperti sebuah agensi kerajaan sebaliknya dilihat lebih kepada menguruskan ‘syarikat sendiri’.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, sehingga kini perbadanan itu masih tidak mengetahui sempadan pentadbirannya sendiri menyebabkan banyak kawasannya dicerobohi individu atau orang persendirian.

"Apa guna kita berbincang begitu lama dalam Dun mengenai isu itu tetapi akhirnya selepas diluluskan ia belum lagi diwartakan.
"Apa masalahnya dan mengapa mengambil masa begitu lama untuk mewartakannya. Saya harap pengerusinya yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng dapat memberi penjelasan," katanya pada sidang media di pejabat ketua pembangkang Dun semalam.

Turut hadir Ketua Pembangkang Dun, Datuk Jahara Hamid dan Adun Bertam, Shariful Azhar Othman.

Beliau berkata akibat keadaan yang meruncing dalam pengurusannya, perbadanan itu menerima teguran dalam 22 perkara dari Ketua Audit Negara dalam laporan terbarunya berakhir 31 Disember 2013.

"Pihak audit tidak dapat membuat pengesahan mengenai baki dua akaun Maybank Berhad pada 31 Disember 2013 kerana surat pengesahan bank tidak dikemukakan," katanya.

Antaranya ia tidak mematuhi piawaian perakaunan dan pekeliling yang berkuatkuasa dalam merekodkan aset tetap. Terdapat kesilapan dalam merekod aset tetap yang menjejaskan nilainya terhadap penyata kewangan.

Beliau berkata, terdapat transaksi yang sepatutnya direkod sebagai belanja tetapi direkodkan sebagai aset tetap manakala transaksi yang sepatutnya direkod sebagai kos operasi tetapi direkod sebagai aset tetap.

"Terdapat urus niaga yang tidak mempunyai dokumen sokongan seperti kos operasi alat penyelenggaraan berjumlah RM346,425.31, kos operasi bagi kerja penyelenggaraan (RM105,328.28), perbelanjaan hadiah dan cenderahati (RM9,400), perbelanjaan pentadbiran bagi perkhidmatan kerja HR (RM24,194), perbelanjaan perkhidmatan konsultan (RM67,000), perbelanjaan perkhidmatan keselamatan (2,289.60).

"Terdapat dokumen sokongan yang tidak mempunyai invois dan amaun invois tidak sama dengan amaun dalam lejar seperti perbelanjaan kepada Syarikat Schenker Logistics (M) Sdn Bhd berjumlah RM23,260.04, perbelanjaan kos operasi hill and trail maintenance kepada Syarikat Sutrak Air Conditioning Sales (RM13,182.30)," katanya.

Sementara itu, Jahara berkata, berdasarkan perkembangan semasa, pengurusan Perbadanan Bukit Bendera boleh dianggap berada dalam keadaan kelam kabut.

Beliau kesal pengurusan kewangannya tidak tersusun walaupun mendapat peruntukan geran tahunan RM9 juta dari kerajaan negeri dan RM13 juta dari hasil jualan tiket manakala kos menyediakan kereta api baharu ditanggung kerajaan pusat.

Oleh itu, Adun BN berpendapat perbadanan itu tidak layak mendapat sebarang peruntukan tambahan dari pusat sehingga ia membetulkan segala kepincangan yang berlaku dalam pengurusan dan kewangannya terlebih dahulu.

"Dalam Bajet 2015, Guan Eng menyebut kerajaan negeri merancang mengadakan projek kereta kabel yang menghubungkan Taman Belia ke Bukit Bendera serta Teluk Bahang ke Bukit Bendera.

"Projek ini dianggarkan RM250 juta dan kerajaan negeri akan meminta bantuan dari kerajaan pusat. Jadi kami tidak sokongan selagi tiada perubahan," katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.