Dalam sesi perbahasan sebelah pagi, perkara berkenaan terserlah apabila Teh Yee Cheu (DAP-Tanjong Bungah) bangun mencelah perbahasan Wong Hon Wai (DAP-Air Hitam).


Hon Wai yang tidak berpuas hati dengan tindakan Yee Cheu kemudian berkata;

“Saya tahu Tanjong Bungah pandai tetapi biar saya habiskan hujah dahulu,” katanya.

Yee Cheu kemudiannya membalas sindiran Setiausaha Politik Ketua Menteri itu dengan mengatakan beliau bukan pandai sebaliknya hanya memberi cadangan.

‘Ketegangan’ kedua-dua pemimpin itu bermula sejak Isnin lalu apabila Yee Cheu mengusulkan supaya penyandang jawatan Ketua Menteri yang kini disandang oleh Lim Guan Eng dihadkan kepada dua penggal.

Menurut Yee Cheu, rasional di sebalik cadangan yang dikemukakan itu ialah supaya pemimpin lain yang berkebolehan dapat diberikan peluang selaras dengan prinsip demokrasi.

Usul itu kemudiannya dibantah Hong Wai sambil menyifatkannya sebagai tidak ada kaitan.

Sementara itu, Yee Cheu ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, beliau tidak berasa ‘terkesan’ dengan tindakan Hon Wai yang dilihat seolah-olah tidak berpuas hati terhadapnya.

“Biarlah orang menilai begitu jika bahasa badan dan mimik mukanya seperti menyindir saya selepas memberi cadangan tempoh jawatan Ketua Menteri dihadkan,” katanya.

Jelas Yee Cheu, beliau hanya mencadangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang menggunakan satu sistem baharu di negeri ini iaitu big system kerana merupakan kaedah terbaik dalam mengumpul data.