Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjawab dakwaan bahawa tanah tersebut sudah dijual pembeli asal kepada pihak lain sedangkan terma dan perjanjian terutama berkaitan bayaran baki belum dilunaskan sepenuhnya.

Selain itu, tambahnya, wujud dakwaan Kerajaan DAP Pulau Pinang memberi keistimewaan kepada pembeli asal berhubung bayaran balik tanah tersebut iaitu bagi tempoh yang agak panjang.

“Jika benar hartanah berkenaan telah dijual kepada pihak ketiga, adakah perkara itu berlaku dengan persetujuan kerajaan negeri atau perjanjian jual beli asal membenarkan transaksi sedemikian sedangkan tanah itu masih belum berpindah milik?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kontroversi tentang penjualan tanah di Bayan Mutiara timbul selepas kerajaan negeri bersetuju menjualnya kepada pemaju persendirian, Ivory Properties dengan harga RM1.07 bilion.

Menurut beliau, dakwaan itu sekiranya benar adalah amat mengecewakan kerana boleh disifatkan sebagai mengkhianati amanah penduduk negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak mendedahkan kepada umum salinan sah perjanjian asal jual beli tanah berkenaan supaya penduduk negeri ini dapat menilai terma-terma pada perjanjian tersebut.

“Tiada sebab mengapa kerajaan negeri tidak boleh mendedahkan perjanjian itu kepada rakyat sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang agenda tersirat yang cuba di­sembunyikan,” katanya.


*** Lapor sahaja isu skandal ini kepada SPRM seperti  mana kes  DS Khir Toyo kena dulu isu  beli rumah mewah dengan  harga murah .