Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tradisi Tanjong Tokong, Mohd. Salleh Yahaya berkata, Guan Eng sebelum ini memberi jaminan akan mempertahankan hak penduduk di Air Putih selepas tanah di situ akan diambil oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk projek pembangunan rakyat.

Katanya, Guan Eng mempu­nyai kuasa termasuk mensyaratkan syarikat pemaju yang mahu membangunkan kampung mereka supaya mengekalkan satu bahagian di situ sebagai zon warisan.

“Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan terbaharu beliau akan memastikan penduduk di Air Putih dibayar pampasan setimpal dan projek yang akan dilaksanakan di kawasan itu adalah perumahan rakyat.

“Ini menunjukkan ada ke­te­gasan untuk membela penduduk di situ. Sehubungan itu, kami mahu ketegasan yang sama di­nyatakan kepada pemaju yang diberi kelulusan menjalankan projek di kampung kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Salleh berkata, mereka menuntut satu pertemuan diadakan dengan Guan Eng supaya beliau dapat menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung isu ber­kenaan.

“Sebelum ini, Ketua Menteri me­ngesahkan kelulusan projek di kampung itu sedangkan kes mahkamah masih berjalan dan tindakan beliau menghina mahkamah serta penduduk yang disaman pemaju sebelum ini,” katanya.

Tegas Mohd. Salleh, jika zon warisan di kampung berkenaan tidak dikekalkan, sejarah Kampung Tanjong Tokong sebagai antara perkampungan awal di negeri ini akan lenyap.
Dalam hal pembangunan di situ katanya, sebuah perkampungan Cina iaitu Kampung Bang Liau yang terletak berhampiran tidak terusik sedangkan kampung mereka yang merupakan warisan awal dan wujud lebih lama menjadi mangsa. -UTUSAN -