Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid mempersoal kenyataan Lim yang mendakwa tidak mengetahui mengenai projek D'Residence sedangkan beliau menyatakan mengenai projek berkenaan dalam Laporan Tahunan PDC untuk tahun 2008, 2009 dan 2010 di segmen Perutusan Pengerusi.


"Adakah Ketua Menteri (Lim) buat-buat lupa mengenai kenyataannya itu atau adakah dengan sengaja memberi kenyataan tidak benar semasa sidang akhbarnya pada Jumaat lepas (14 November)?

"Kemudian buat kenyataan beliau 'tidak tahu' PDC telah memajukan projek itu sehinggalah ia dibangkitkan oleh saya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jahara mengulas kenyataan Lim yang mendakwa beliau tidak mengetahui PDC menjual rumah dengan harga tinggi sehingga RM3 juta seunit di D'Residence sehinggalah ia dibangkitkan oleh Jahara pada persidangan DUN, baru-baru ini.

Lim, bagaimanapun mengakui PDC ada menjual rumah dengan harga tinggi tetapi ia diluluskan sebelum 2008 iaitu sebelum DAP mengambil alih pemerintahan negeri itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Jahara berkata, melalui semakan di laman sesawang adun.net mendapati, Lim pernah menjawab soalan bertulis yang diajukan anggota Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas ketika itu Syed Amerruddin Syed Ahmad, berkenaan projek tersebut pada mesyuarat kedua penggal ketiga persidangan DUN ke-12 pada 2010.

"Kompetensi dan akauntabiliti Ketua menteri sebagai pengerusi PDC boleh dipersoal. Saya mendesak beliau menyemak semula fakta serta memohon maaf di atas kenyataan tidak benar yang dibuat," katanya. - BERNAMA