Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, peraturan tersebut yang dikuatkuasakan mengikut Enakme­­n Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak, terutama golongan bukan Islam.
Beliau berkata, orang bukan Islam harus menghormati penguatkuasaan undang-undang tersebut dan tidak melibatkan mereka pun.

“Banyak pihak sekarang ini cuba mempertikaikan ibadat orang Islam. Saya rasa tak perlu dibangkitkan, sebab kita tak pernah pun mengkritik apa-apa amalan dalam agama lain.

“Contohnya, membakar mayat dalam agama lain. Dalam Islam tak boleh tetapi kita tetap hormat agama dia. Jadi kita harap semua pihak tolong menghormati agama masing-masing,” katanya.

Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dalam pada itu menegaskan, peraturan tersebut dibuat bukan mahu mencari salah dan menghukum, sebaliknya mahu memastikan umat Islam melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT dengan lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Tahun Ke-24 Pentadbiran Membangun Bersama Islam Kerajaan Kelantan serta pelancaran buku tulisan beliau bertajuk Khalifah: Kita Pilihan Allah, di sini hari ini.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh bekas Menteri Besar yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud baru-baru ini mengumumkan, lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut ketika berada di negeri ini boleh dipenjarakan selama setahun serta denda sehingga RM1,000.

Bagaimanapun, sebuah portal propembangkang semalam me­laporkan kritikan LFL yang menyifatkan penguatkuasaan peraturan itu bertentangan dengan Perlembagaan negara selain memperlakukan orang Islam seperti individu yang melakukan jenayah berat.