..

..

MALAYSIA BUKAN NEGARA SEKULAR SEPERTI DAP MAHUKAN !!

on Wednesday, June 18, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Malaysia bukan negara sekular berdasarkan fakta sejarah yang menunjukkan bahawa negara ini ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu, dan Raja-Raja merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu diperkukuh dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan.
“Kedudukan ini dizahirkan lagi dengan adanya peruntukan-peruntukan lain yang menjaminnya, antaranya Fasal (4) Perkara 11 berkenaan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut agama lain oleh undang-undang negeri atau persekutuan.
“Fasal (2) Perkara 12 mengenai hak berkenaan pendidikan, apabila sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan institusi Islam, membantu atau mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan anggota Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang ingin tahu sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam, di Dewan Rakyat hari ini.
Jamil Khir berkata perkara itu juga diperkukuh lagi dengan Fasal (1A) Perkara 121 yang menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Ssyariah.
Katanya keadaan itu jelas berbeza dengan negara sekular yang tidak menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara tetapi rakyatnya dibenar untuk mengamalkan agama mereka masing-masing.
Ling juga ingin tahu sama ada hukum hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan adakah kerajaan pesekutuan bercadang untuk melaksanakan hukum hudud.
Jamil Khir berkata kerajaan sedia maklum berkenaan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Syariah di negeri itu.
Namun katanya, sebelum melaksanakan undang-undang itu, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaan undang-undang syariah itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Dalam hal ini kerajaan sentiasa berusaha mengambil pendekatan secara bertahap bagi memastikan undang-undang jenayah Syariah dilaksanakan termasuk memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah, menaiktaraf sistem kehakiman Syariah dan menyemak semula kedudukan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah,” katanya. – BERNAMA


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.