..

..

TIADA HUKUM HUDUD DI P.PINANG SELAGI KERAJAAN DAP BERKUASA

on Friday, May 9, 2014 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




GEORGETOWN - Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini berkata kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bersetuju terhadap sebarang pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.
 
"Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan sebarang pelaksanaan hukum hudud di Pulau Pinang. Saya menyebut perkara ini bukan sahaja sebagai pemimpin DAP tetapi juga sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan juga pendirian kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek naik taraf Kompleks Makanan Padang Brown, Jalan Datuk Keramat di sini.
    
Guan Eng berkata pendirian kerajaan negeri jelas iaitu menolak hukum hudud dan beliau juga meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow menyatakan pendirian parti itu terhadap hukum hudud.
    
"Kami berharap pengerusi BN negeri boleh menyatakan pendirian mereka di Pulau Pinang. Apa pendirian BN (mengenai hudud) di Pulau Pinang?," katanya.
   
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Bungah dari DAP Teh Yee Cheu meminta Guan Eng dan Chang Yeow menyatakan pendirian berhubung hukum hudud, selain perlu menerangkan kepada rakyat sama ada mereka menyokong atau menentang undang-undang jenayah Islam itu.
    
Isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kembali menjadi perbincangan hangat akhir-akhir ini apabila Kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu, bercadang membawa usul berhubung perkara itu di Dewan Rakyat Jun ini.
    
Hasrat Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ditentang keras sekutunya, DAP, atas alasan pelaksanaan hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan Pas-DAP-PKR.
    
Terdahulu, Guan Eng dalam ucapannya berkata projek menaik taraf kompleks makanan itu dijangka siap Mac tahun depan dan sepanjang tempoh itu gerai-gerai sedia ada beroperasi seperti biasa.
    
Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf kompleks makanan itu dijalankan oleh Syarikat Arza Aktif Enterprise dengan kos RM2.6 juta.
    
Kompleks yang mempunyai 33 unit gerai makanan halal dan 24 unit gerai makanan tidak halal itu bakal dilengkapi tandas awam, bilik khas menyusu, surau dan laluan basikal, katanya. - Bernama


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.