Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Wira Idris Harun menyifatkan Azmin Ali merupakan ayam tambatan DAP dalam diam apabila Timbalan Presiden PKR itu membuat kenyataan menyokong penggunaan kalimah Allah secara tidak langsung menolak keputusan majlis syura ulama Pas.
Menurut beliau, kenyataan terbuka Azmin itu juga beliau sifatkan bahawa Azmin secara jelas tidak menghormati pendirian rakan-rakan lain di dalam Pakatan Pembangkang di dalam isu tersebut.
“Bagi saya, tidak ada apa yang nak dihairankan dengan kenyataan seorang pemimpin berfikiran dan berfahaman liberal seperti Azmin. Dia bukanlah individu yang terbaik untuk memberikan pendapat tentang hal ini.
“Kita sendiri tahu setakat mana jati diri Azmin sebagai seorang Melayu yang beragama Islam. Justeru apa yang nak dihairankan kalau pendapatnya itu sama seperti mana pendapat pemimpin DAP,” jelas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambah beliau yang juga merupakan ahli parlimen Tangga Batu, kenyataan Azmin tersebut sudah pastinya menggembirakan kepimpinan DAP terutama Lim Guan Eng, di mana beliau menjadi wakil bagi mempertahankan kehendak DAP dalam isu kalimah Allah itu.
“Saya yakin rakyat sudah tahu menilai siapa itu Azmin. Bila kita lihat kenyataan dan pendapatnya yang lebih kepada pemahaman liberal, menyokong perkara-perkara yang dilarang di dalam agama, sudah jelas kita dapat baca bagaimana peribadi beliau.
“Jadi, bagi saya sebarang kata-kata dan pendapat yang keluar dari mulut beliau tidak boleh dijadikan rujukan. Bagaimana kita mahu mengikut atau menjadikan kata-kata seorang pemimpin seperti Azmin yang terpalit dengan pelbagai isu sebagai ikutan atau rujukan?,” tegasnya. -MediaUMNO





